Razarudin (kanan) mengadakan sidang media di IPK Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengingatkan semua parti politik untuk memohon permit ceramah lebih awal bagi Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN-15) membabitkan enam negeri.

Ia bagi memastikan tiada pertembungan berlaku antara parti politik di lokasi sama ketika berceramah.

“Apabila Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan undang-undang pilihan raya sudah mula efektif jadi permohonan sudah boleh dilakukan.

“Walaupun kita melayan permohonan permit dalam masa 24 jam tapi yang terbaik mohonlah awal sebelum 24 jam.

“Kita tak nak mana-mana parti minta permit rupanya tempat yang sama dia bertembung (ceramah). Jadi itu nasihat saya kepada calon-calon parti yang akan bertanding,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu, Razarudin menghadiri taklimat PRN di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang.

Antara yang disampaikan menerusi taklimat itu termasuk soal keselamatan, bantuan sumber manusia serta pelancaran bilik gerakan Op Cantas.

Mengulas lanjut Razarudin berkata, seramai 40,000 anggota dan pegawai bantuan akan digerakkan untuk enam negeri yang terlibat PRN.

“Mereka terdiri daripada anggota pegawai dari Bukit Aman serta Kontinjen lain yang tidak terlibat dalam PRN.

”Bagi Pulau Pinang, seramai 663 anggota tambahan ditempatkan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette