Zaki Yamani

KUALA LUMPUR – Selepas tiga hari membuat ciapan kontroversi berdoa Tan Sri Abdul Hadi Awang meninggal dunia, penyokong kuat PKR, Zaki Yamani memohon maaf kepada Presiden Pas hari ini.

Permohonan maaf berkenaan dibuat awal pagi ini melalui Twitter selepas lebih 24 jam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan beliau berbuat demikian.

Bagaimanapun Zaki Yamani tidak memohon maaf kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana turut mendoakan bekas Perdana Menteri itu meninggal dunia dengan segera.

“Mengambil perhatian ciapan YAB PM @anwaribrahim dan pandangan rakan-rakan, saya memohon maaf kepada isteri-isteri dan keluarga Tan Sri Abdul Hadi Awang andai ciapan saya ini mengguris perasaan,” katanya melalui ciapan di Twitter.

Pada 1 Julai lalu, Zaki Yamani mendoakan supaya Allah mengambil segera nyawa Abdul Hadi dan Dr Mahathir. Ini selepas Presiden Pas itu dilaporkan telah dimasukkan ke hospital kerana tidak sihat.

“Doa: Ya Allah! Ambil lah nyawa Abdul Hadi Awang. Hentikan kerosakan yang dilakukan nya di muka bumi. Hentikan fitnah yang dibawanya terhadap agama-Mu.
Ambil sekali Mahathir,” tulisnya.

Bagaimanapun Perdana Menteri mengarahkan Zaki Yamani segera momohon maaf atas hantaran yang dibuat.

Anwar kesal dengan tindakan pengguna media sosial tersebut berkongsi ciapan berhubung keadaan kesihatan Abdul Hadi Awang yang merosot dan sedang dirawat di hospital.

“Saya membantah dan kesal dengan ciapan biadab Zaki dan mengarahkan beliau untuk memohon maaf dengan kadar segera,” tulis beliau.

Sabtu lalu, anak Abdul Hadi, Muhammad Khalil memaklumkan ayahnya dimasukkan ke hospital dalam hantaran di laman Facebooknya.

“Mohon doa dan solat hajat khusus untuk kesembuhan Ayahanda Tuan Guru. Kesihatan ayahanda sedikit merosot sebelum Aidiladha, dan kini menerima rawatan dan pemantauan lanjut oleh pihak doktor di hospital,” katanya.-MalaysiaGazatte

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast