Kementerian Pengajian Tinggi. foto FAREEZ FADZIL, 04 NOVEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Keputusan permohonan bagi melanjutkan pengajian di Universiti Awam (UA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan diumum pada Jumaat ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi kenyataan memaklumkan, ia turut melibatkan permohonan ke Politeknik, Kolej Komuniti (KK) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) peringkat Sijil, Asasi dan Diploma Sesi Akademik 2023/2024.

Katanya, keputusan boleh disemak bermula pukul 12 tengahari hingga 16 Julai pukul 5 petang.

“Pengesahan setuju terima/tolak tawaran bermula pada 8 Julai 2023 hingga 16 Julai 2023 di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA).

“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya mulai 8 Julai 2023 setelah calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh yang
dinyatakan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, hanya pemohon yang tidak berjaya atau mendapat tawaran pengajian peringkat sijil sahaja boleh mengemukakan permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di https://upu.mohe.gov.my dalam tempoh 10 hari mulai 7 Julai, pukul 12tengahari sehingga 16 Julai 2023, jam 5.00 petang.

Ujarnya, rayuan ke kolej komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

Katanya, tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2023/2024 adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak dibenarkan.

“Dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai dilaksanakan,” ujarnya.

Bagi tujuan itu katanya, pelajar boleh menyemak melalui pautan secara atas talian di https://jpt.utm.my, https://jpt.uum.edu.my,
https://jpt.unimas.my,
https://jpt.ums.edu.my,
http://jpt.umt.edu.my.

Pelajar juga boleh menyemak menggunakan aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar. – MalaysiaGazette