Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia (BNM) diharap tidak menaikkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) susulan daripada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang diadakan hari ini dan esok.

Presiden Nasional Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau berkata, kenaikan sebelum ini telah membebankan rakyat dan meningkatkan kos operasi perniagaan.

“Kenaikan OPR akan menjejaskan pelbagai kadar faedah, seperti kadar deposit, pinjaman, kadar bon dan lain-lain lagi.

“Kumpulan B40 dan M40 juga akan terkesan dengan kenaikan OPR kerana kedua-dua kumpulan pendapatan ini menduduki 80 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia. Kini, mereka masih menghadapi masalah kewangan dan ekonomi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dominic berkata, menurut Perangkaan Bulanan Malaysia terkini kadar inflasi keseluruhan Malaysia semakin turun, ia telah mencapai 2.8 peratus pada bulan Mei.

Jelasnya, penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh Indeks Harga Pengguna (IHP) bukan teras, terutama bahan api (turun 0.2 peratus) dan makanan (turun 0.1 peratus). Inflasi teras juga turun kepada 3.5 peratus (daripada 3.6 peratus pada bulan April).

“Kini tiada sebab dan keperluan untuk menaikkan OPR. BNM tidak sepatutnya menaikkan lagi OPR untuk mengelakkan pengaliran keluar modal, menstabilkan kadar pertukaran dan menarik pelabur untuk memegang mata wang Malaysia berikutan kejatuhan mendadak nilai ringgit baru-baru ini.

“Walaupun langkah itu boleh menghalang mata wang Malaysia daripada terus jatuh, tetapi ia juga akan memberi kesan yang buruk kepada ekonomi,” tambahnya.

Sehubungan itu Dominic berharap agar BNM mempertimbangkan keadaan rakyat sebelum membuat keputusan terbaru.-MalaysiaGazette