KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97, RON 95 dan diesel untuk tempoh antara 6 hingga 12 Julai 2023 kekal dengan masing-masing berada pada paras RM3.37, RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, kerajaan mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel sungguhpun harga pasaran sebenar bagi kedua-dua produk itu melebihi paras harga siling yang telah ditetapkan bagi melindungi pengguna daripada kesan kenaikan harga sebenar minyak di pasaran global.

“Kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara,” katanya.

Penetapan harga runcit produk petroleum dilakukan secara mingguan dengan menggunakan formula Automatic Pricing Mechanism. – MalaysiaGazette