KUALA LUMPUR – Kelantan United melakukan perubahan drastic apabila menandatangani tiga lagi pemain import baharu pada jendela perpindahan kedua bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia musim ini.
Menerusi media sosial kelab itu, mereka mengumumkan kemasukan seorang lagi pemain import dari Uzbekistan, Sirojiddin Rakhmatullaev.
Pemain berusia 30 tahu itu di posisi tengah bertahan yang sebelum ini beraksi bersama kelab Mash’al Mubarek di Liga Divisi Kedua Uzbekistan.
Sirojiddin pernah beraksi di liga utama Uzbekistan selain pernah berkelana ke Liga Bangladesh pada musim 2020/21.
Pemain kelahiran Qashqadaryo Region itu telah merekodkan lebih 40 perlawanan dalam Liga Uzbekistan dan 25 perlawanan dalam Liga Bangladesh.
Selain Sirojiddin, Kelantan United juga telah menandatangani dua pemain import dari Korea Selatan dalam usaha kembali memberi saingan kepada pasukan pencabar lain seterusnya memperbaiki kedudukan mereka dalam carta Liga Malaysia.
Dua pemain tersebut ialah Kim Min Kyu, 22, dan Kim Deok, 21 tahun.
Min Kyu yang beraksi di posisi sayap kiri serta kanan dibawa masuk dari kelab Liga K4 Korea Selatan iaitu Pyeongtaek Citizen FC.
Sementara itu, Kim Deok yang beraksi di posisi pertahanan pula adalah bekas pemain kelab Thai League 3, Saraburi United FC.
Kedua-dua pemain telah menyertai sesi percubaan sejak minggu lalu.
Sebelum ini, Kelantan United membawa masuk bekas penyerang import Kelantan FC dari Nigeria, Ismaheel Akinade sebelum pintu perpindahan kedua Liga Malaysia yang dibuka secara rasminya bermula hari ini.
Akinade yang kini telah mengumpul empat gol sepanjang saingan Liga Super Malaysia musim ini telah menamatkan kontrak dengan persetujuan bersama bersama The Red Warriors seterusnya menyertai skuad kendalian Ailton Dos Santos Silva.
Kehadiran bekas penyerang beberapa kelab di Liga Ireland, Vietnam dan Bangladesh itu bagi memperkuatkan semula jentera serangan Sang Kijang Hijau yang dilihat bermasalah pada pusingan pertama menyebabkan mereka berada pada kelompok pasukan terbawah dalam saingan musim ini. – MalaysiaGazette