JOHOR BAHRU – Sebanyak RM123 juta telah disumbangkan Keluarga Diraja Johor sepanjang tempoh pandemik Covid-19 membabitkan 1.6 juta penduduk di negeri itu.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sanggup mengambil risiko dengan menitahkan pegawai-pegawai istana turun ke lapangan bagi menghulurkan bantuan.
“Tidak cukup dengan itu, Keluarga Diraja Johor sentiasa di hadapan dalam misi bantuan bencana banjir, ribut, kebakaran, bantuan kepada golongan asnaf, bantuan pendidikan, bantuan kesihatan selain memperjuangkan serta melindungi hak asasi wanita dan kanak-kanak.
“Di atas sifat ihsan dan kasih Sultan Johor dan Keluarga Diraja Johor maka lahirlah simbiosis erat di antara istana dengan rakyat jelata,” katanya.
Datuk Onn Hafiz berkata demikian semasa berucap pada majlis penghargaan Yayasan-Yayasan Diraja Johor, pelancaran buku dan portal Kesultanan Johor hari ini.
Majlis penghargaan Yayasan-Yayasan Diraja Johor dan pelancaran buku serta portal Kesultanan Johor disempurnakan perasmiannya oleh Sultan Johor.
Sementara itu, Portal Kesultanan Johor yang dibangunkan oleh kerajaan negeri berperanan menjadi hab rujukan serta informasi penting mengenai Kesultanan Johor.
Buku Takhta Johor terbitan Royal Press Office (Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor) mengabadikan pelbagai gambar detik-detik kenangan sepanjang 10 tahun pertama pemerintahan Sultan Ibrahim sejak menaiki takhta sebagai Sultan Johor pada tahun 2010.
Himpunan gambar-gambar antaranya menceritakan sejarah, budaya, istiadat, pemerintahan, pentadbiran, kekeluargaan serta majlis-majlis besar menjadi satu karya unik untuk tatapan rakyat dan juga generasi-generasi akan datang.
Selain itu, buku Sultan Abu Bakar – Monarch, Reformer, Diplomat terbitan Yayasan Sultan Ibrahim Johor mencatatkan kisah ‘Bapa Johor Moden’ serta memperincikan pemerintahan baginda.
Manakala buku Taat dan Setia, Almarhum Sultan Ismail Johor Dalam Kenangan merupakan terbitan Universiti Teknologi Malaysia mengisahkan baginda sebagai seorang sultan yang adil, bijaksana serta amat menyayangi rakyatnya berbilang kaum.-MalaysiaGazette