Muhyiddin bertemu dengan Mahathir bagi membincangkang mengenai Proklamasi Orang Melayu.
Muhyiddin bertemu dengan Mahathir bagi membincangkang mengenai Proklamasi Orang Melayu.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadakan pertemuan empat mata dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pertemuan yang turut dihadiri Pengerusi Sekretariat Proklamasi Orang Melayu, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan semalam dikatakan bagi membincangkan Proklamasi Orang Melayu yang digerakkan Dr. Mahathir.

Khairuddin berkata, pertemuan antara dua tokoh pemimpin Melayu yang sanggup ketepikan perbedaan politik lampau demi menjaminkan kelangsungan perjuangan untuk memperkasakan kedudukan anak bangsa.

“Sifat terpuji Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin bakal menjadi satu sandaran baru kepada keseluruhan orang-orang Melayu yang amat ‘dahagakan’ penyatuan atau perpaduan melayu secara mutlak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pertemuan antara kedua-dua bekas Perdana Menteri itu dibuat hampir dua jam di kediaman Dr. Mahathir.

Bulan lalu, Mahathir mengeluarkan kenyataan sedia untuk bekerjama dengan Muhyididn jika kedua-dua pihak mempunyai matlamat yang sama.

Perkara itu disambut baik oleh Muhyiddin yang berkata beliau juga bersedia untuk bekerjasama kembali dengan Mahathir.

Menurut Khairuddin, bangsa Melayu sedang menuntut penyatuan yang jitu demi untuk memperkasakan semula kedudukan anak bangsa agar menjadi satu bangsa yang dihormati oleh semua pihak.

Tambah beliau, gerakan Proklamasi Orang Melayu secara ‘non partisan’ membuka pintu secara seluas-luasnya kepada individu Melayu yang bersemangat untuk bersatu-padu tanpa kira apa saja fahaman ideologi politik masing-masing.

Jelasnya, Sekretariat Proklamasi Orang Melayu akan mengembangkan daya usaha untuk menyatupadukan keseluruhan umat melayu secara ‘total’ seterusnya mengenal pasti segala polemik permasalahan dan memperkenalkan formula penyelesaian ke atas setiap masalah-masalah yang membelenggu kaum itu.

“Gerakan Proklamasi Orang Melayu bukan berteraskan berpartian tetapi atas dasar perjuangan orang Melayu serta semangat Melayu semata-mata.

“Kita hanya ingin membicarakan tentang setiap permasalahan Melayu serta menyelesaikannya berteraskan ‘hak-hak’ orang-orang melayu seperti mana yang termaktub dalam perlembagaan persekutuan,” ujarnya.

Khairuddin berkata, proklamasi itu tidak akan mengizinkan orang Melayu mengambil hak-hak kaum-kaum lain secara tidak berperlembagaan.

Katanya, hak kaum lain dihormati secara kerana matlamat Proklamasi Orang Melayu ingin mengwujudkan sebuah negara berteraskan ‘love,’ ‘peace’ dan ‘unity’ yang hidup dalam rukun aman damai dalam kepelbagaian kaum.

Tambah beliau, asas itu akan dipegang erat dan gerakan tersebut tidak akan mengizinkan mana-mana anak bangsa mengganggu-gugat keharmonian negara ini.

Sementara itu Khairuddin berkata, perjumpaan semalam lebih menjurus ke arah menjalinkan penyatuan serta perpaduan Melayu secara tulen tanpa perasaan curiga antara satu sama lain. – MalaysiaGazette