CYBERJAYA – Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) digesa menyiasat beberapa ahli Parti Warisan (Warisan) yang didakwa memfitnah Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57), Datuk Andie Zulkarnain Baharuddin Mahdar berkata, hantaran yang dimuatnaik di laman sosial Facebok dan TikTok itu diputar belit selain memaki hamun untuk memburukkan Hajiji.
“Kumpulan ini bergerak aktif menabur fitnah yang jahat, jijik dan mencipta naratif mengaibkan ke atas Ketua Menteri Sabah.
“Malah usaha memajukan Sabah juga mereka cuba untuk gagalkan jadi kita berharap supaya SKMM mengambil tindakan menangani perkara ini kerana ia sudah berlarutan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Terdahulu beliau hadir membuat laporan di SKMM ke atas beberapa pengguna laman sosial yang membuat hantaran berupa fitnah terhadap Hajiji, kira-kira jam 3 petang tadi.
Dalam pada itu, Andie Zulkarnain mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga antara yang menjadi mangsa tohmahan dalam talian oleh pihak berkenaan.
Katanya, laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu pada 27 Jun lalu berkait perkara sama.
“Saya menggesa polis, SKMM dan Jabatan Peguam Negara segera mendakwa individu yang menyebarkan fitnah, mengaibkan dan menghasut,” katanya. -MalaysiaGazette