KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam proses mengkaji semula tangga gaji pegawai dan anggota pasukan keselamatan itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, gaji yang diterima anggota berpangkat rendah adalah kecil, tidak setimpal dan tidak mampu menampung kos sara hidup terutama bagi mereka yang bertugas di bandar besar.
“Bagi anggota berpangkat konstabel contohnya tangga gaji yang diterima mereka sekitar RM2,000 termasuk elaun. (Mereka) yang tinggal di Kuala Nerang, Kedah, agak banyak tetapi bagi anggota yang tinggal di Kuala Lumpur, dia akan menjadi miskin bandar.
“Bagi seorang pegawai berpangkat inspektor yang mempunyai gaji sekitar RM4,000 dan bekerja di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Johor, mereka perlu menyewa rumah bersama rakan lain (bukan polis) kerana kos sara hidup yang mahal,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Perjumpaan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain Bersama Ketua Editor dan wakil agensi media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut Razarudin, PDRM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedang meneliti perkara tersebut dan perbincangan bersama Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam telah dilakukan.
Ditanya sama ada gaji rendah merupakan faktor anggota polis terpalit dengan amalan rasuah, Razarudin berkata, rasuah adalah isu global yang menjadi perhatian setiap negara.
“Fokus utama saya dalam aspek tata kelola tadbir urus PDRM adalah saya sedang cuba untuk mengecilkan dan menutup peluang amalan rasuah ini dan jika berlaku rasuah kita akan ambil tindakan,” ujarnya. – MalaysiaGazette