KUALA LUMPUR – Usahawan mikro, kecil dan sederhana diminta untuk bersama-sama kerajaan memperbaiki ‘ekosistem’ yang telah dirosakkan dalam pemerintahan satu penggal yang lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha membaiki kerosakan di bawah pentadbiran tiga perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-14 adalah sukar.
“Kita lihat beberapa langkah perubahan telah dilakukan oleh perdana menteri dengan serba kepayahan yang telah dilalui.
“Apabila kerajaan yang terdahulu selama satu penggal dengan kepimpinan tiga perdana menteri menyebabkan bukan sahaja ekosistem dalam negara kita ini telah pecah, rosak tetapi usaha pembaikannya itu lebih sukar.
“Keadaan inilah yang perlu didukung oleh kita semua terutama oleh usahawan mikro kecil dan sederhana,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pelancaran Pelan Pemformalan Usahawan Informal anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Korperasi di sini hari ini.
Ahmad Zahid berkata, usahawan mikro, kecil dan sederhana bukan sahaja perlu menguasai pasaran tempatan tetapi perlu mengembangkan perniagaan ke peringkat serantau dan global.
Mereka boleh meneroka antara lain pasaran halal yang bernilai AS$3 trilion pada 2021 dan dijangka melonjak ke AS$5 trilion pada 2023.
“Ini merupakan satu peluang besar yang harus digamit oleh usahawan. Mesti keluar kepompong bukan sahaja mengeluarkan produk pasaran tempatan, mesti menerobos pasaran serantau dan global.
“Jangan sekadar keluarkan sambal dan kicap atau bahan-bahan untuk kegunaan tempatan. Negara serantau dan global melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang berpotensi untuk mengeluarkan produk halal.
“Mari bersama-sama melihat pasaran besar seperti China penduduk 1.4 bilion, India 1.2 bilion,” katanya.
Pelan Pemformalan Usahawan Informal merupakan inisiatif supaya individu atau kumpulan berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia atau mana-mana badan untuk memperoleh pelesenan.
Usahawan yang tidak berdaftar mempunyai akses terhad untuk mendapatkan bantuan dan fasiliti perniagaan daripada agensi kerajaan.
Kumpulan itu juga terdedah dengan pelbagai risiko dan ancaman krisis ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Sementara itu Menteri Pembangunan Usahawan dan Korperasi Datuk Ewon Benedick berkata, setakat ini sejumlah 25,000 usahawan informal yang telah mendaftar untuk memiliki lesen.
Katanya, mengikut laporan Survei Guna Tenaga Sektor Informal dan Pekerjaan Informal 2021 terdapat sebanyak 955,400 individu atau majikan usahawan informal.
Kumpulan tersebut berpotensi dibangunkan sebagai perniagaan berdaftar dan mampu menyumbang antara 2.4 peratus hingga 5.3 peratus Keluaran Dalan Negara Kasar.-MalaysiaGazette