Gambar hiasan

IPOH – Enam individu termasuk dua beradik ditahan disyaki menjadikan sebuah premis di Jelapang di sini sebagai makmal memproses dadah, dalam serbuan pada Rabu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, kesemua lelaki berusia lingkungan 32 hingga 57 tahun itu ditahan pada 3 pagi oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

“Hasil pemeriksaan di premis itu menemukan dadah jenis Methamphetamine seberat 155 gram, heroin dianggar seberat 52.3 gram serta cecair disyaki Methamphetamine dianggar sejumlah 47.5 liter, kesemuanya dianggar berjumlah RM672,649,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata. polis turut merampas sejumlah bahan kimia dan peralatan yang disyaki digunakan untuk memproses dadah, sebuah lori serta empat motosikal yang dianggar bernilai RM76,000.

Katanya hasil saringan air kencing mendapati kesemua mereka positif terhadap dadah jenis Methamphetamine dan morfin selain memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurut Mohd Yusri sindiket tersebut mula aktif dalam aktiviti memproses dadah sejak awal tahun ini manakala dadah berkenaan mampu digunakan kira-kira 180,000 penagih di sekitar negeri ini.

Beliau berkata kesemuanya direman hingga Selasa depan bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast