Gambar hiasan

ANAK merupakan anugerah terindah yang tiada galang gantinya. Hadirnya membawa penyeri dalam kehidupan, hilangnya meragut jiwa bagi setiap insan yang bergelar ibu bapa. Ibu bapa perlu memiliki minda yang cakna dalam membesarkan anak-anak untuk menjadi insan berguna pada keluarga, masyarakat, agama dan negara. Di samping itu, dalam sibuk menyediakan keperluan asas seperti pembelajaran, kecukupan makan, minum dan pakaian, emosi anak perlu diambil berat. Sikap tidak endah dan tidak acuh pada setiap perkara yang diceritakan atau diadukan oleh anak perlu dielak sama sekali.

Hal ini kerana, setiap anak mempunyai kepercayaan dan kebergantungan tinggi terhadap ibu bapa dalam hidup mereka. Keadaan mereka yang masih kecil dan umur remaja merangkak menuju ke alam dewasa membuatkan diri mereka masih terlalu mentah dan rapuh dalam menentukan setiap keputusan serta tingkah laku yang wajar diambil. Ketika inilah ibu bapa perlu memainkan peranan penting dengan bersikap prihatin, teliti, ambil berat dan melindungi anak dengan sehabis baik bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku.

Rentetan insiden yang menyayat hati melibatkan seorang remaja berumur 14 tahun yang telah mencekik adiknya sehingga mati baru-baru ini telah mengundang rasa terkilan bapa mangsa kerana beranggapan bahawa kejadian buli di sekolah adalah suatu perkara biasa. Kejadian ini dipercayai berlaku ekoran anak lelakinya telah menjadi mangsa buli oleh pelajar senior di sekolah berasrama penuh. Bapa mangsa memaklumkan anaknya sering kali mengadu dibuli dengan dipukul, dicekik, disepak, disimbah air semasa tidur, malah diugut oleh pembuli untuk tidak mengadu hal tersebut sehinggakan perbuatan itu mengundang kecederaan pada badan remaja tersebut.

Menurut bapa remaja tersebut, berikutan kes buli yang berlarutan itu telah menyebabkan anaknya menghadapi trauma dan mengalami simptom ketidakstabilan emosi seperti meracau dalam keadaan yang trauma dan pernah mencekik kedua ibu bapanya juga. Hal tersebut telah menjadi serius apabila mangsa buli ini telah mencekik adik kandungnya sehingga kehilangan nyawa. Berikutan kes ini, ibu bapa perlu memandang serius setiap aduan yang dikemukakan oleh setiap anak, ambil langkah untuk bertindak segera sebelum terlambat dan menjadi parah.

Oleh itu, ibu bapa perlu peka untuk mengetahui emosi anak berada dalam keadaan stabil atau sebaliknya dengan mengenalpasti simptom anak menghadapi trauma apabila dibuli. Apakah yang dimaksudkan dengan trauma? American Psychological Association (APA) mentakrifkan trauma sebagai tindak balas emosi apabila individu melalui pengalaman yang menyakitkan dan menyedihkan dalam hidupnya. Terdapat beberapa jenis kecelaruan emosi dan mental kesan daripada pengalaman ekstrem yang menimpa individu seperti kejadian buli, penderaan fizikal dan seksual, mangsa peperangan, keganasan rumahtangga, bencana alam, penderaan lisan, kemalangan yang teruk, penderaan kanak-kanak dan pemerdagangan manusia. Simptom ini dikaitkan dengan kecelaruan stres pasca trauma (PTSD) yang seringkali dialami oleh individu yang mengalami pengalaman pahit dan menyakitkan. Ianya adalah sesuatu yang sukar dilupakan dan individu terlibat menderita ekor an kejadian yang menimpa dirinya. Selain itu, trauma boleh dibahagikan kepada tiga jenis trauma.

Menurut Ashley Olivine pakar dalam psikologi kesihatan menyatakan pertama ialah trauma emosi akut merupakan trauma yang terjadi rentetan peristiwa menyakitkan atau menyedihkan. Kedua ialah trauma emosi kronik yang berlaku kesan daripada peristiwa yang menyedihkan yang berlaku dalam tempoh masa yang panjang selama beberapa bulan atau beberapa tahun. Ketiga, trauma emosi kompleks (complex emotional trauma) yang berlaku hasil gabungan peristiwa menyedihkan sama ada berkait atau melibatkan peristiwa yang berbeza. Pakar Psikiatrik Prof Dr Ramli Musa menyatakan gejala emosi trauma akan membawa kepada simptom seperti berperasaan takut, perubahan emosi yang mendadak, hilang konsentrasi, kemurungan, kebimbangan (anxiety), rasa bersalah yang melampau terhadap diri sendiri, hilang minat dalam melakukan sesuatu aktiviti, perubahan mood dan perubahan sikap.

Kesemua gejala ini perlu diperhatikan pada diri anak yang berhadapan dengan trauma. Ibu bapa perlu membuat tindakan awal dan pantas sekiranya melihat simptom ini bertambah teruk dan menggangu fungsi kehidupan seharian mereka. Justeru, terdapat beberapa perkara yang perlu diikhtiarkan bagi menyelamatkan anak daripada menghadapi kesan negatif trauma. Menurut Pensyarah Kanan, Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Shazli Ezzat Ghazali menyatakan terdapat beberapa langkah untuk menangani mereka yang mengalami trauma. Pertama, membawa individu untuk segera berjumpa dengan pakar psikiatrik dan pakar psikologi. Individu akan diberi rawatan farmakologi dengan pengambilan ubat-ubatan bagi mengawal simptom yang dialami dan mengelakkan diri dari melakukan perkara berbahaya yang boleh memudaratkan diri dan orang di sekelilingnya.

Selain itu, terapi kognitif tingkah laku juga dapat membantu untuk menggalakkan tingkah laku positif menerusi penekanan dalam pendidikan psikologi yang bertindak membetulkan pemikiran individu. Kedua, menerusi perjumpaan dengan ahli psikologi klinikal, individu akan diberi rawatan relaksasi atau rawatan lain yang berkaitan dengan trauma untuk membantu individu mengendalikan diri dengan tenang dan baik.
Seterusnya, individu disarankan untuk melakukan hobi yang diminatinya. Hal ini, akan menggalakkan hormon-hormon positif seperti dopamin, oksitosin, serotonin dan endorfin dirembeskan untuk merencat kesan negatif trauma yang boleh merosakkan diri individu. Di samping itu, usaha mendekatkan diri dengan Allah dapat membantu diri lebih tenang dan menghalang daripada melakukan perkara yang berisiko serta berbahaya.

Berdasarkan langkah pencegahan di atas, ibu bapa perlu bertindak segera untuk memastikan anak mendapatkan rawatan dan langkah pencegahan yang tepat sebelum keadaan bertambah serius. Tuntasnya, ibu bapa harus cakna dalam memerhatikan perubahan emosi anak dan mengambil berat pada setiap masalah yang dikemukakan oleh anak. Jangan diabaikan sama sekali keluhan dan rintihan anak. Amalkan sikap ambil peduli yang serius agar kesejahteraan anak terjamin dalam melewati perkembangannya menuju alam dewasa. Anak adalah tanggungjawab yang perlu dijaga dengan baik agar diri mereka dapat membesar dengan sihat, sejahtera dan berkembang dengan baik menjadi insan kamil yang berguna untuk agama, bangsa dan negara.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast