Datuk Seri Ti Lian Ker

KUALA LUMPUR – Keputusan MCA tidak meletakkan calon pada pilihan raya negeri bagi  meredakan ketegangan kaum dan agama yang boleh mengancam ketenteraman negara.

Naib Presiden MCA Datuk Seri Ti Lian Ker percaya, sentimen perkauman dan keagamaan akan dieksploitasi oleh parti dan calon bagi menimbulkan kebencian demi mendapatkan undi.

“Oleh sebab itu biarlah MCA membuat pengorbanan demi untuk kembali menjadi orang perantaraan dan jambatan perhubungan etnik berlandaskan Perlembagaan yang merupakan peranan tradisi MCA sejak penubuhan negara kita Malaysia walaupun dicabar dan dibenci oleh penyokong Malaysian Malaysia yang dianjurkan oleh DAP sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Lian Ker berkata, MCA sebelum ini menjadi mangsa propaganda DAP yang melabelkan UMNO sebagai parti perkauman menyebabkan MCA dibenci bukan Melayu khususnya kaum Cina kerana kerjasama dengan UMNO.

Hasutan dan hentaman bertalu-talu DAP terhadap UMNO juga katanya, menyebabkan penyokong UMNO benci terhadap DAP.

“Tiba-tiba DAP bekerjasama dengan UMNO dan menjadikan Pas sebagai sasaran mereka untuk memomokkan dan menakutkan pengundi bukan Melayu khususnya pengundi Cina.

“Dan ini telah menimbulkan polarisasi perkauman dan keagamaan dengan trend Melayu sokong Perikatan Nasional yang diterajui oleh Pas dan bukan Melayu menyokong Pakatan Harapan yang diterajui oleh DAP.

“MCA percaya polarisasi ini akan berterusan dan menjadi semakin hangat lebih-lebih lagi apabila sentimen perkauman dan keagamaan dieksploitasikan untuk menimbulkan kebencian semata-mata untuk mengaut undi dalam PRN enam negeri nanti,” kata Lian Ker.

Beliau menegaskan MCA tidak setuju menggunakan ‘perpaduan’ untuk mendapatkan undi dan pada masa sama menganiaya pihak lain sebagai musuh yang perlu dibenci.

Justeru beliau menyarankan rakyat negara ini perlu menjadi satu keluarga sekali gus menghentikan polemik agama dan etnik.

Lian Ker menegaskan, tumpuan sepatutnya diberi kepada usaha membina negara dan bukannya membinasakan negara.

“Ekonomi, nilai mata wang, kos sara hidup dan sebagainya semakin merosot dan rakyat semakin dibelenggu.

“Sama-sama kita sedar diri dan bertaubatlah! Lebih-lebih bagi penyokong Pas dan DAP kerana BN tidak dapat lagi memainkan peranan persahabatan dan jambatan antara kaum dan etnik secara efektif seperti dulunya!” kata beliau.-MalaysiaGazette