BAYAN LEPAS – Polis membuka kertas siasatan terhadap seorang lelaki yang menyerang isteri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz dalam satu kejadian di sebuah kedai runcit milik mereka di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan 506 akta sama.
Azrul Mahathir membuat laporan polis semalam berhubung kejadian it di Balai Polis Teluk Kumbar pada jam 4.50 petang kerana bimbang keselamatan isteri serta pekerja premis berkenaan.
Menurut beliau, isterinya tiba-tiba diserang lelaki berkenaan pada jam 1.40 tengah hari selepas tidak puas hati anaknya dituduh mencuri barang di kedai runcit miliknya di Jalan Datuk Ismail Hashim di sini.

“Isteri saya mengakui ada menangkap pelajar perempuan dianggarkan berusia 11 tahun di premis tersebut, ketika dia dikatakan sedang mencuri makanan ringan sebelum memasukkan ke dalam beg.
“Tidak lama selepas kanak-kanak itu beredar, lelaki berkenaan masuk ke dalam kedai dan menyerang dengan mengetuk kepala isteri saya.
“Dia cuba mengetuk kepala isteri kali kedua namun berjaya dielak sebelum isteri meminta pekerja kedai menelefon polis,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Azrul Mahathir, tindakan lelaki itu tidak wajar tambahan pula melakukan serangan terhadap seorang wanita.
“Apa yang berlaku itu memang tak wajar bukan kerana ia berlaku pada isteri saya. Perkara yang berlaku itu boleh dibincangkan secara berhemah bukannya terus serang dengan alasan individu itu wanita,” katanya dengan nada kecewa. – MalaysiaGazette
















