Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid hadir pada sidang media berkenaan Pilihan Raya Negeri (PRN) di IPK Selangor, Shah Alam. Foto FAREEZ FADZIL, 07 JULAI 2023.

SHAH ALAM – Sejumlah 190 kawasan panas telah dikenalpasti di enam negeri menjelang Pilihan Raya Negeri 12 Ogos ini, kata Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rasid hari ini.

Ketua Polis Negara itu berkata, kesemua kawasan panas yang dikenalpasti itu sebagai kawasan berpotensi berlaku kekecohan dan provokasi semasa kempen dan semasa hari memilih nanti.

“Kita telah mengenal pasti sebanyak 190 kawasan panas di enam negeri yang akan diadakan PRN pada 12 Ogos 2023 oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Mengikut pecahannya di Selangor sahaja sebanyak 70 kawasan panas diikuti Terengganu (66), Kedah (20), Negeri Sembilan and Kelantan masing-masing 16 kawasan panas dan akhirnya dua kawasan panas dikesan di Pulau Pinang,” Katanya dalam sidang media persiapan PRN Selangor di Mess Pegawai Kanan Kontinjen Selangor hari ini.

Tambah beliau dalam perkembangan sama, Bukit Aman khususnya pegawai Jabatan Siasatan Jenayah dan Cawangan Khas akan memantau secara rapat segala aktiviti dan pergerakan di kawasan panas itu untuk memastikan PRN kali ini berjalan lancar dan menjaminan keselamatan pengundi.

“Kami (PDRM) mahu memastikan rakyat dapat menjalankan tanggungjawab mereka iaitu hak mengundi tanpa rasa risau.

“Dalam soal ini, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil polis terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kekecohan semasa proses kempen dan PRN.

“Pada masa yang sama, kita akan menggerakkan pasukan sedia ada secara optimum ke semua enam negeri dengan memastikan tidak berlakunya pembaziran tenaga,” tambahnya.

Menurut Razarudin,  Selangor mempunyai seramai 14,000 pegawai dan anggota PDRM.

Pada masa sama, Kontinjen Selangor akan menerima sokongan sekurang-kurangnya 2,000 pegawai dan anggota sebagai tambahan pada PRN kali ini.

“Kesemua mereka akan memulakan tugas masing-masing di lapangan tiga atau empat hari sebelum proses penamaan calon bermula sehingga selepas hari mengundi 12 Ogos nanti,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin juga memberitahu beliau sendiri akan turun memantau proses perjalanan PRN pada kali ini.

Setakat ini beliau sudah mengadakan lawatan berhubung PRN di Negeri Sembilan, Kedah, Penang and Selangor.- MalaysiaGazette