BALING – Polis sudah mengenal pasti identiti bayi lelaki berusia 19 bulan yang dilaporkan hanyut dibawa arus di Sungai Lubuk Pedati di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, mangsa, Adryan Mikhael Mohamad Afiq, berusia 19 bulan itu berasal dari Pulau Pinang.
“Kita terima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 12 tengah hari sebelum operasi pencarian dilakukan dengan bantuan pihak bomba.
“Susulan itu, pada jam 12.45 tengah hari mangsa yang hanyut itu ditemui orang awam di Kampung Sungai Limau di sini.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan anak sulung kepada pasangan suami isteri berusia 30 tahun.
”Ibu mangsa, ahli keluarga serta rakan lain dikatakan turut bermandi-manda di lokasi kejadian manakala mangsa ketika itu dalam pegangan bapanya.
“Bagaimanapun, bapanya tergelincir sekali gus anak terlepas daripada pegangannya dan hanyut.
“Siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merakamkan keterangan keluarga bayi berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette