Gambar hiasan

KUANTAN – Cadangan pengeluaran berkala atau secara bulanan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) setelah umur persaraan 55 tahun mendapat reaksi bercampur dalam kalangan masyarakat.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati terdapat orang awam menyambut baik cadangan itu, malah tidak kurang yang menolak jika ia dilaksanakan.

“Kalau saya, memang saya tak setuju. Sebab itu hak saya dan saya sudah ada perancangan selepas bersara dengan duit caruman tersebut.

“Kenapa tak ikut sahaja seperti sedia ada. Hampir 30 tahun saya kerja mestilah saya ‘looking forward’ untuk pengeluaran wajib tahun depan,” kata Zafril Mohd Saleh, 54, ketika ditemui, hari ini.

Zafril Mohd Saleh

Menurutnya yang bekerja sendiri, dia tidak pernah culas membuat caruman KWSP dalam akaun simpanan persaraannya itu agar beroleh manfaat setelah bersara nanti.

Pendapat itu turut dikongsi Norhafizan Zulkifli, 37, yang mempunyai perancangan jangka panjang menggunakan wang persaraan setelah dia bersara.

“Saya carum duit dalam KWSP tu, saya dah rancang untuk bina sebuah rumah di kampung bila dah bersara nanti. Kalau kena keluar secara bulanan pula, saya kena kuburkan hasrat saya,” katanya yang telah mencarum sejak 13 tahun dahulu.

Bagi Norhafizan, kaedah pengeluaran pilihan caruman sedia ada sudah memadai kerana pencarum boleh memilih bergantung kepada situasi kewangan masing-masing, sama ada pengeluaran keseluruhan caruman atau secara berkala.

Norhafizan Zulkifli

Justeru, katanya, tiada keperluan bagi kerajaan untuk menetapkan satu pilihan, seperti ‘pukul rata’ dan mengecilkan pilihan buat pencarum yang mempunyai keperluan kewangan yang berbeza-beza.

“Jangan ubah kalau boleh. Saya tak sokong langsung. Sebab sebelum pencen saya tak mampu nak beli rumah sendiri, jadi lepas bersara tu baru ada harapan nak keluarkan duit KWSP saya. Kalau macam ni, memang tak akan mampu lah nak ada rumah sendiri,” ujarnya.

Dalam pada itu, Muhammad Thaqif Mohammed Nazim, 20, menyambut baik hasrat kerajaan yang menggalakkan ahli KWSP yang berumur 55 tahun mengeluarkan simpanan secara berkala bagi membantu rakyat terus menabung dan mempunyai simpanan mencukupi apabila bersara.

Muhammad Thaqif Mohammed Nazim

Bagaimanapun, katanya, pencarum sendiri mempunyai tanggungjawab menguruskan kewangannya secara berhemah apabila memasuki usia persaraan.

“Saya baru 10 bulan bekerja. Mungkin belum mempunyai tanggungjawab besar menguruskan wang persaraan. Tapi pandangan peribadi saya, kalau pengeluaran caruman menyeluruh itu mestilah atas tanggungjawab individu atau pencarum.

“Sebab itu biar sahaja ada pilihan sama ada nak keluar (KWSP) menyeluruh atau pilihan bulanan,” katanya yang bekerja dalam sektor swasta.

Nuriy Nazihah Maliki, 19 yang baru mencarum dengan KWSP tujuh bulan lalu berkata: “Kalau boleh, kekalkan kaedah pengeluaran sedia ada. Yang sekarang dah elok dah,”.

Nuriy Nazihah Maliki

Pada 5 Julai lalu, Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mendedahkan KWSP tidak menolak kemungkinan untuk mempertimbang menjadikan pilihan pengeluaran secara berkala atau bulanan apabila pencarum mencecah usia persaraan 55 tahun.

Bagaimanapun, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada masa ini perkara itu masih lagi di peringkat akhir perbincangan.

Buat masa ini, pilihan tersebut boleh dibuat secara sukarela tetapi ia akan menjadi mandatori bagi ahli baharu pada masa depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast