Budak lelaki berusia dua tahun ditemui rentung dalam bilik tidur dalam kejadian di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Seorang kanak-kanak lelaki maut dalam kebakaran di rumahnya di sebuah flat di Taman Pantai Bersih di sini hari ini.

Mangsa berusia dua tahun itu ditemui dalam keadaan rentung sepenuhnya di atas katil dalam salah sebuah bilik di rumah tersebut.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Butterworth, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nasir Idris berkata, sebaik tiba pihaknya mendapati hanya sebuah bilik dalam rumah berkenaan terbakar dan ian dipadamkan sebelum kehadiran pihak bomba.

“Anggaran kemusnahan bilik itu 20 peratus dan pemeriksaan lanjut membawa kepada penemuan seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan rentung atas katil,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 8.29 pagi membabitkan kediaman di tingkat dua flat berkenaan.

Tambah Mohd Nasir, hasil temu bual awal pihak keluarga mendakwa pintu dikunci dari dalam bilik sebelum mereka menyedari berlaku kebakaran selepas melihat kepulan asap.

“Ketika kejadian, ahli keluarga mangsa berada di rumah manakala nenek mangsa sedang mandi. Mereka cuba memadamkan api tersebut. Bagaimanapun, gagal menyelamatkan mangsa susulan api dikatakan merebak dengan cepat.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan punca kejadian masih dalam siasatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette