SEPANG – Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar bersyukur dengan perjalanan 31,600 jemaah haji Malaysia tahun ini.

Mohd Na’im yang menyambut ketibaan 350 jemaah haji Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berkata operasi, haji tahun ini berjalan dengan baik meskipun berhadapan cuaca yang agak tinggi di antara 38 hingga 48 darjah Celsius dan jumlah jemaah mencecah hampir dua juta orang di Tanah Suci.

“Alhamdulillah, jemaah haji kita telah diiktiraf sebagai jemaah haji yang berdisiplin dan mempunyai sikap yang baik selain berilmu. Oleh itu, kita seharusnya istiqamah untuk kekalkan sikap terpuji tersebut dan sentiasa jaga nama baik negara.

“Kerajaan Arab Saudi juga sekali lagi telah mengiktiraf TH apabila TH menerima Anugerah Labbaitom bagi Kategori Kepuasan Tertinggi Dalam Perkhidmatan Yang Disediakan Oleh Pejabat Urusan Haji yang telah saya terima daripada Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah,” katanya dalam sidang media di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika menyambut kumpulan keempat belas yang tiba menerusi penerbangan Saudia Airlines SV5610 yang berlepas dari Jeddah pada jam 8.08 pagi (waktu Arab Saudi) hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, sejumlah 70 jemaah masih berada di Arab Saudi dan masih dirawat di Pusat Rawatan TH di Makkah dan Hospital Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, sembilan rakyat Malaysia meninggal dunia di Arab Saudi.

“Kebanyakan jemah yang meninggal dunia di Arab Saudi adalah sakit radang paru-paru dan sakit jantung.

“Saya dan Pengurusan Kanan TH ingin mengucapkan salam takziah kepada seluruh keluarga jemaah haji atas kehilangan insan tersayang di Tanah Suci Makkah,” jelas Mohd Na’im.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, TH akan mengadakan mesyuarat penutupan dengan pelbagai kementerian dan agensi penyedia perkhidmatan haji di Arab Saudi bagi menilai semula tahap perkhidmatan dan kemudahan yang diberikan pada Musim Haji tahun ini.

Jelasnya, ia perlu bagi melihat dan mengenalpasti secara terperinci tentang perjalanan operasi haji tahun ini serta ruang untuk penambahbaikan bagi setiap maklumbalas yang diterima daripada semua 18 sektor operasi.

“Pasca nilai (post mortem) ini amat penting dalam usaha TH memperbaiki setiap kelemahan demi mempertingkatkan perkhidmatan dan menambah baik segala langkah kerja demi kesejahteraan jemaah haji di masa hadapan,” katanya.

Menurut Tabung Haji (TH), sebanyak 98 penerbangan menggunakan pesawat Saudia dan AMAL by Malaysia Airlines akan membawa pulang kesemua jemaah haji Malaysia dan petugas-petugas haji secara berperingkat.

Penerbangan terakhir dijangka berlepas pada 31 Julai melalui Lapangan Terbang  Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdul Aziz di Madinah. – MalaysiaGazette