Dua produk mengandungi racun berjadual.

KUALA LUMPUR – Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual.

Airee Beautycare Night Cream dikesan mengandungi merkuri manakala BL Ledehh Day Cream 1 pula mengandungi Hydroquinone dan Tretinoin.

Susulan itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, notifikasi produk-produk kosmetik terlibat telah dibatalkan dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di negara ini.

“NPRA KKM ingin menggesa orang awam untuk mengelak daripada membeli dan menggunakan produk-produk kosmetik berikut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kata Dr Muhammad Radzi, penjualan dan pengedaran dua produk kosmetik tersebut  melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Penjual dan pengedar produk-produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk-produk kosmetik tersebut dengan serta-merta,” tambahnya.

Dr Muhammad Radzi menasihatkan orang awam yang  menggunakan produk kosmetik berkenaan untuk segera berhenti menggunakannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan.

Sementara itu, menurut beliau, individu yang melakukan kesalahan  boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Manakala, bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.-MalaysiaGazette