KUANTAN – Pembinaan blok wanita dan kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) baharu akan dimulakan penghujung tahun ini.
Tarikh surat setuju terima telah dikeluarkan pada 9 Jun lalu oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan tempoh kontrak dijangka siap adalah menjelang tahun 2028, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.
“Ia bukan terletak di dalam kawasan HTAA tapi lokasi dipersetujui adalah di Tanjung Lumpur,” katanya kepada media ketika ditemui di sini hari ini.
Difahamkan, pembinaan blok baru yang boleh menempatkan 376 katil itu diluluskan dalam Rolling Plan (RP) Ketiga Rancangan Malaysia ke-11 (RMK 11) dan akan memanfaatkan sekitar 564,000 penduduk.
Selain itu, katanya, pihak hospital turut dikehendaki menyenaraikan keperluan pembinaan bangunan blok baru mengikut keutamaan sama ada bgi blok pentadbiran dan perkhidmatan klinikal.
“Saya sudah beri pandangan supaya meletakkan prioriti pelaksanaan projek bangunan tambahan kerana pada masa sama kita ada projek-projek lain yang belum kita mulakan dan baru dapat kelulusan dalam RP3 dan RP4 yang akan datang.
“Saya pohon kepada pihak hospital untuk mengemukakan kertas kerja dan kita akan nilaikan keperluan kerana ia melibatkan penggunaan kawasan di HTAA dan perobohan bangunan tertentu untuk memboleh bangunan tersebut didirikan,” jelas Lukanisman.
Sementara itu, beliau berkata, KKM masih menunggu laporan berkaitan kesesuaian feasibility tanah dan cadangan untuk pembinaan Hospital Maran.
“Ketika ini pihak (Jabatan Kesihatan Negeri) JKN telah mengenal pasti beberapa lokasi tanah yang bersesuaian dan perkara tersebut akan dibawa semula kepada KKM di mana kita akan nilaikan semula.
“Jika bersesuaian, kita memang tidak akan ada masalah bagi menyenaraikan projek Hospital Maran dalam Belanjawan atau RP yang akan datang,” katanya.
KKM sebelum ini menyarankan penduduk sekitar daerah Maran mendapatkan perkhidmatan kesihatan di Hospital Jengka dan Jerantut sehingga hospital baharu itu siap dibina. – MalaysiaGazette