KUANTAN – Datuk kepada Putri Nor Fatin Karim, 14, iaitu mangsa tragedi kepala air Jeram Air Putih, di Kemaman, Terengganu, masih berharap cucunya itu ditemukan meskipun sudah 10 hari kejadian itu berlaku.
Eiyi Johari, 60, berkata beliau dan ahli keluarga lain sepakat untuk bergilir-gilir ke Kemaman bagi mendapatkan perkembangan terkini operasi mencari dan menyelamat (SAR) anak ketiga daripada tujuh beradik itu, kerana ada antara mereka yang kini perlu kembali bekerja.
“Kami masih berharap dan selama mana pun kami tetap menunggu. Walaupun masih belum ditemukan, kami sudah melakukan solat jenazah ghaib,” katanya kepada pemberita semasa ditemui di Masjid Ubbudiah di Felda Lepar Hilir 3 di sini hari ini.
Terdahulu, Eiyi dan isterinya, Halimah Kasim, 63, menerima kunjungan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang berkenan mencemar duli menyantuni keluarga mangsa dan menyertai majlis tahlil di masjid tersebut.
Eiyi turut berterima kasih kepada semua pihak yang membantu keluarganya sejak hari pertama kejadian hingga kini, selain turut melancarkan urusan pengebumian mangsa.
“Saya terharu sebab semua orang bertungkus-lumus membantu… dari di tempat kejadian sampai ke sini (Felda Lepar Hilir 3). Ramai juga memberi kata-kata semangat dan mendoakan keluarga anak saya.
“Malah, majikan saya juga faham dan memberi kelonggaran untuk bercuti bagi menguruskan keluarga sejak hari pertama kejadian,” katanya yang bekerja di anak syarikat sebuah universiti di sini.
Pada 2 Julai lepas, 10 orang dilaporkan hilang selepas dihanyutkan kepala air semasa berkelah di Jeram Air Putih bermula pada petang sehari sebelumnya.
Mereka ialah anak Eiyi, Azizah, 40 dan suami, Karim Abdullah, 39, serta anak mereka iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18; Putri Alleya Maisarah Karim, 16; Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11; Putri Nurerina Natasya,10; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6; Putri Aryana Umaira Karim, 4; dan Putri Nor Fatin, yang masih belum ditemukan.
Turut terkorban Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Batu Pahat, Johor, iaitu tunang kepada Putri Balqis Izzati.
Lapan sekeluarga itu selamat dikebumikan pada Selasa dan Rabu lepas di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, manakala Muhammad Fikri dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Parit Kuda, Batu Pahat pada Sabtu.- BERNAMA