KUALA LUMPUR – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menarik balik permohonan tujuh kes rasuah serta tuduhan menerima wang hasil aktiviti haram yang sedang dihadapinya dipindah ke Mahkamah Tinggi.
Bekas Perdana Menteri itu menghadapi enam pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan menerima wang aktiviti haram di Mahkamah Sesyen.
Sebelum ini, Hakim Mahkamah Tinggi, K Muniandy membenarkan permohonan Muhyiddin untuk menarik balik pemindahan kes dikemukakan pembelaan melalui surat bertarikh 5 Julai lalu.
Menurut peguam mewakili Muhyiddin, Datuk Hisyam Teh Poh Teik, pada prosiding pengurusan kes tersebut, hakim membenarkan dan membatalkan permohonan anak guamnya memindahkan kes daripada Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.
Difahamkan, pasukan pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Pembelaan yang telah membuat tiga permohonan memindahkan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi sepatutnya didengar hari ini.
Pada sama terdapat permohonan untuk membatalkan pertuduhan kesalahan rasuah terhadap Muhyiddin yang akan didengar di Mahkamah Tinggi, esok.
Permohonan untuk memindahkan kes akan menjadi akademik jika pembatalan tuduhan dibenarkan.
Menurut pembelaan, pihaknya sudah mencadangkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya permohonan pemindahan kes ditangguh sehingga selepas permohonan pembatalan diputuskan.
Bagaimanapun SPRM tetap mahu permohonan pemindahan didengar dulu.
“Kita sudah failkan hujahan untuk meneruskan prosiding hari ini namun untuk jimat masa serta kos mahkamah kita berpandangan permohonan perpindahan ini akan jadi akademik jika ianya dibenarkan kelak. Itu juga sebab mengapa kita tarik balik permohonan pemindahan ini.
“Walaupun kita ada asas kukuh untuk pemindahan namun kita tarik balik kes,” kata Hisyam.
Pada Mac tahun ini, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, atas enam pertuduhan, iaitu empat tuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram dengan wang berjumlah RM195 juta. – MalaysiaGazette