Ramli Mohamed Yoosuf

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menjejaki dan menyekat wang sebanyak RM28.3 juta daripada daripada negara ini yang mahu dipindahkan ke sebuah akaun bank di luar negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yusof berkata, tindakan pantas itu dibuat selepas pihaknya pada 6 Julai lalu menerima satu laporan  berkaitan kes penipuan e mel.

Berdasarkan siasatan sejak Januari 2023, polis mendapati syarikat mangsa yang berpangkalan di Malaysia telah berurusan dengan sebuah syarikat luar negara untuk mendapatkan gas petroleum cecair (LPG).

“Pada 22 Jun lalu, pihak syarikat mangsa telah menerima emel dari wakil syarikat pembekal LPG yang mengarahkan mangsa membuat pembayaran ke dalam akaun yang baharu.

“Selepas percaya dengan arahan yang diberikan wakil syarikat dari luar negara itu, mangsa telah membuat pembayaran ke akaun tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Ramli, mangsa hanya menyedari dirinya telah ditipu apabila syarikat pembekal yang sebenar memaklumkan mereka masih tidak menerima pembayaran.

Bertindak atas maklumat, polis dengan kerjasama Bank Negara Malaysia dan institusi kewangan terlibat bertindak pantas menjejaki wang berkenaan dan berjaya menyekat sejumlah RM28,361,636.68 dari dipindahkan ke akaun bank di luar negara.

Kes berkenaan masih dalam siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya.

“Sebagai langkah pencegahan, masyarakat khususnya ahli perniagaan yang menggunakan emel dalam urusan seharian diingatkan agar sentiasa berhati-hati.

“Sebelum bertindak memulakan sebarang urusan pemindahan atau transaksi kewangan kepada mana-mana pihak, sila pastikan emel yang diterima anda adalah daripada pihak pembeli atau penjual yang sebenar dan sahih.

“Lebih penting adalah sentias berwaspada sekiranya terdapat arahan berkaitan perubahan akaun bank bagi tujuan pembayaran.

“Sebaiknya, hubungilah syarikat penjual, pembeli melalui panggilan telefon bagi mendapatkan pengesahan berkenaan perubahan akaun tersebut,” tegasnya. – MalaysiaGazette