Nazry Mohamad Mokhtar mengaku bersalah Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas tuduhan merompak warga emas di Felda Air Tawar 4 baru-baru ini.

KOTA TINGGI – Perkarangan Mahkamah Sesyen, di sini, bertukar hiba apabila seorang pekebun yang dijatuhkan hukuman penjara selama lapan tahun menangis dan memeluk isterinya.

Tertuduh, Nazry Mohamad Mokhtar, 37 mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada empat orang anak itu didakwa merompak seutas gelang tangan emas milik warga emas di sebuah rumah di Felda Air Tawar 4 pada 2 Julai lalu kira-kira 12.40 tengah hari.

Tertuduh juga dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa berusia 60 tahun dan didakwa di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan (Akta 574).

Jika sabit kesalahan beliau boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda atau sebatan.

Nazry diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Hilmi Sulaiman Salahuddin manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Irsyad Mardi.

Hilmi Sulaiman meminta mahkamah meringankan hukuman berdasarkan Nazry hanya seorang pekebun dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500, mempunyai anak yang masih kecil berusia tiga hingga 9 tahun yang perlu disara selain menjaga ibu bapanya.

Bagaimanapun Muhammad Irsyad meminta agar mahkamah mengenakan hukuman berat berdasarkan kesalahan serius yang dilakukan, melibatkan kecederaan terhadap mangsa warga emas.

Menurut kertas pertuduhan, tertuduh membawa sebilah parang ketika kejadian menyebabkan mangsa trauma.

Hayda Faridzal kemudian menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun daripada tarikh Nazry ditangkap dan satu sebatan. – MalaysiaGazette