SEPANG – Sebanyak 293 kompaun dikeluarkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) terhadap majikan kerana tidak mendaftarkan pekerja mereka dengan agensi tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, jumlah kompaun itu dikumpulkan menerusi Operasi Pengesanan Majikan (Ops Kesan) yang dilakukan sejak 1 Julai lalu.
Beliau berkata, nilai keseluruhan kompaun yang diperoleh setakat pukul 11 pagi hari ini menerusi Ops berkenaan adalah sebanyak RM325,900 dengan sebanyak 222 kompaun dikeluarkan mengikut Akta 4 manakala, 71 lagi kerana melanggar Akta 800.
“Kita dapati ada majikan yang tidak mendaftarkan pekerja separuh masa (sambilan).
“Saya ingin ingatkan kepada majikan bila mengambil pekerja sama ada tetap ataupun separuh masa semuanya wajib didaftar dan dicarum,” katanya kepada media selepas mengadakan Ops Kesan di kawasan perniagaan Kota Warisan, di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya mendapati ramai majikan ambil mudah terhadap pekerja sambilan dengan tidak mencarumkan pekerja terutama yang bekerja di restoran-restoran.
Ujarnya, apa yang berlaku menunjukkan bahawa majikan-majikan terbabit tidak mengendah perihal tanggungjawab menjaga kebajikan pekerja mereka, sebaliknya hanya memikirkan keuntungan semata-mata.
Tambah beliau, selain keuntungan majikan perlu mengutamakan nasib pekerja kerana mereka adalah aset yang membantu mendapatkan hasil keuntungan.
“Part time pun perlu dicarum… selagi mereka mengambil pekerja untuk berkhidmat di sesuatu premis atau dengan mana-mana majikan mereka wajib didaftar dan perlu dicarum,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohammed Azman berkata, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak mempunyai pengurusan sumber manusia yang sistemik merupakan antara golongan majikan culas mendaftarkan caruman bagi pekerja mereka.
Jelasnya, majikan yang menjalankan perusahaan kecil juga dilihat mempunyai tahap kesedaran yang rendah untuk mendaftarkan pekerja tetap atau sambilan mereka.
“Masalahnya majikan-majikan kedai kecil, peniaga runcit atau makanan mereka ini yang kebanyakannya tidak mendaftar, kalau syarikat gergasi mereka ada bahagian pengurusan sumber manusia yang tahu tanggungjawab untuk daftarkan keperluan statutori.
“Majikan besar bukan masalah tapi masalah yang paling utama ialah majikan kecil yang baru hendak naik (perniagaan mereka). Mereka ini yang selalu kurang kesedaran kerana tiada sumber manusia dan buat semua kerja sendiri,” tambahnya. – MalaysiaGazette