KUALA LUMPUR – Mencetak lebih banyak wang tidak akan menyelesaikan isu ekonomi negara.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebaliknya berkata, idea berkenaan hanya akan mewariskan lebih banyak hutang terutama kepada golongan muda.
“Apa makna cetak wang ini. Orang asyik kata cetak wang, cetak wang. Apa kau ingat boleh beli printer cetak wang.
“Bila sesebuah negara selalunya melalui bank pusat mengambil keputusan untuk menambah bekalan wang dalam pasaran. Cetak wang bermakna dia (kerajaan) perlu berhutang lagi kerana kerajaan hanya boleh dapat wang dengan menerbitkan kertas hutang yang dipanggil bon.
“Bila jual bon pelabur beli. Duit itulah yang menjadi duit tambahan dalam ekonomi. Kerajaan kemudian boleh buat keputusan dia hendak letak dalam bank, bank bagi pinjam (kemudian) sampai kepada rakyat,” kata Rafizi.
Beliau berkata demikian dalam satu klip video yang dikongsi dalam media sosial.
Dalam video tersebut, Rafizi menyindir cadangan yang pernah dilontarkan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Pada November 2020, Wan Ahmad Fayhsal ketika itu Timbalan Menteri Belia dan Sukan semasa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) melontarkan ‘teori cetak duit’ dan pengampunan hutang bagi mengatasi isu ekonomi.
“Saya tengok satu-satunya kenyataan dasar yang dinyatakan oleh Perikatan Nasional macam mana nak pulihkan kedudukan ekonomi negara datangnya daripada manusia paling pintar dalam Perikatan Nasional.
“Kerana kepintarannya menghafal segala perkataan yang tidak boleh dipakai namanya Mat Jargon.
“Sebab dulu, tahun lepas bila benda ini keluar dia beritahu sebenarnya penyelesaian kepada masalah ekonomi negara mudah sahaja kita kena cetak lebih banyak wang,” kata Rafizi.
Sebelum ini Wan Ahmad Fayhsal menyelar pihak tertentu cuba memutar belit kenyataannya mengenai ‘teori cetak duit’ dan pengampunan hutang bagi mencetuskan kontroversi.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, idea ‘wang helikopter’ bukan bermaksud Bank Negara Malaysia (BNM) kena mencetak lambakan wang tunai untuk diedarkan ke pasaran.
Katanya, perkara itu bukan isu baharu waima di negara barat turut diperkatakan kerana wang berkenaan boleh diberikan oleh BNM dalam bentuk dompet elektronik untuk manfaat rakyat dapat berbelanja lebih.
Justeru jelasnya, cadangan bersifat penyelesaian radikal itu wajar kerana (pada ketika itu) ramai terkesan akibat wabak Covid-19 apabila dibuang kerja dan tiada wang untuk bayar hutang pinjaman bank.-MalaysiaGazette