Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming melihat fasiliti taman permainan semasa mengadakan lawatan kerja ke Taman Tasik Cempaka di Bandar Baru Bangi, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 JULAI 2023.

BANGI – “Kita serah kepada polis sebab Guan Eng sudah berikan jaminan akan beri kerjasama penuh dan saya rasa tidak jadi masalah,” kata Naib Pengerudi DAP, Nga Kor Ming

Kor Ming yang mengulas siasatan polis terhadap Pengerusi DAP itu berikutan mengeluarkan kenyataan menyentuh isu berkaitan 3R (institusi raja, agama dan bangsa) berkata, parti itu tidak bimbang kerana Guan Eng telah mengatakan kenyataannya dalam laporan media telah disalah ertikan.

“Dia telah keluarkan kenyataan di mana kenyataan beliau telah salah terjemah dan ini memberikan imej buruk.

“China Press sudah terbitkan dia tidak kata begitu, dan salah terjemah oleh media dalam talian,” katanya yang juga Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan selepas lawatan kerja Sentuhan Kasih KPKT ke Selangor di Tasik Cempaka, di sini, hari ini.

Kelmarin, Timbalan Pengarah (Forensik/Perancangan Strategik) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Suresh Kumar G Suppiah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kenyataan Guan Eng itu.

Terdahulu sebuah portal berita tempatan yang memetik sebuah akhbar berbahasa Mandarin melaporkan Guan Eng dalam ucapannya memberi amaran kepada pengundi di Pulau Pinang supaya menyekat ‘gelombang hijau’.

Portal berita terbabit melaporkan, bekas Menteri Besar Pulau Pinang itu mendakwa ‘gelombang hijau’ berkenaan akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan.

Dalam pada itu, Kor Ming berkata, DAP akan membuat pengumuman mengenai kerusi-kerusi yang akan ditanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri pada tarikh yang dianggap sebagai bertuah kepada parti itu.

“Jangan bimbang, ia (senarai kerusi DAP) akan diumumkan pada masa yang sesuai. Kita pilih tarikh yang akan beri ‘ong’ (tuah) untuk buat pengumuman ada masa lagi.

“Segalanya berjalan lancar seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri minggu lepas,” katanya dalam sidang media sama.

Sebelum ini, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, parti itu akan meletakkan calon di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang parti itu pada PRN, 12 Ogos depan.

Secara keseluruhan DAP memenangi 48 kerusi DUN di empat negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kerusi DUN berkenaan termasuk 19 di Pulau Pinang, Selangor (16), Negeri Sembilan (11) dan Kedah (2). – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Pernyataan2 menghasut sedemikian amat bahaya dan boleh mencetuskan 13 Mei sekali lagi? Harap Dato Ayob cepat siasat!

    Rakyat yang cintakan keamanan.

Comments are closed.