Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Seramai enam anggota polis di Perak yang sedang berkaraoke di sebuah premis di Setiawan ditahan oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman pada Sabtu lalu.

Sumber memberitahu, kesemua anggota berkenaan ditahan dalam serbuan lebih kurang 11.30 malam dan turut ditemui adalah seorang wanita asing warga Indonesia berada di dalam premis tersebut.

Kata sumber lagi, pemeriksaan lanjut ke atas mereka mendapati salah seorang daripada anggota positif alkohol.

“Malah pemeriksaan lanjut polis di dalam tandas bilik karaoke berkenaan turut ditemukan sepeket serbuk putih disyaki dadah jenis ketamin.

“Selain itu, ujian saringan awal air kencing ke atas kesemua anggota mendapati salah seorang daripadanya dikesan positif dadah jenis ganja,” kata sumber tersebut hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah JIPS Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad ketika dihubungi tadi mengesahkan tangkapan enam anggota polis tersebut.

“Operasi itu dijalankan JIPS dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) bagi mengesan pelanggaran dan salah laku yang dilakukan oleh warga PDRM (Polis Diraja Malaysia).

“JIPS Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak akan menjalankan siasatan lanjut ke atas kesemua anggota yang ditahan itu malah siasatan dari sudut tatatertib juga akan dijalankan,” katanya.

Bagaimanapun, Azri memaklumkan terdapat juga keadaan yang membenarkan anggota polis berada di dalam premis berkenaan berdasarkan arahan dalaman PDRM.

“Bagaimanapun, kita akan melakukan siasatan terperinci berikutan ada anggota berkenaan terkesan dalam ujian saringan air kencing,” tegasnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast