KUALA LUMPUR – Pemuda Perikatan Nasional (PN) Melaka menyifatkan Lim Guan Eng telah melakukan hasutan yang melampaui batas apabila menyamakan Pulau Pinang seperti wilayah di China sekiranya PN mengambil alih tampuk pemerintahan di Pulau Pinang.
Ketuanya Penerangannya, Dr Mohd Aleef Yusof mendakwa, Pengerusi DAP itu telah meniup api perkauman antara orang Melayu dan bukan Melayu dan beliau cuba menakut-nakutkan orang bukan Melayu terhadap dasar PN.
Katanya, perbuatan itu sangat melampau dan PN Melaka menyelar tindakannya selain berasa kesal terhadap tohmahan yang dilemparkan.
“Perbuatan ini menunjukkan Lim Guan Eng amat terdesak apabila menyaksikan kumpulan besar rakyat yang mula beralih perhatian kepada Perikatan Nasional.
“Bagaimana seorang pemimpin DAP boleh mengeluarkan kenyataan seperti ini?
“Beliaulah yang cuba memecah belahkan rakyat di negara ini dengan memainkan isu perkauman, menakut-nakutkan kaum bukan Melayu bahawa mereka akan ditindas apabila parti didonimasi orang Melayu seperti Perikatan Nasional berkuasa kelak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Aleef yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang berkata, sepatutnya pemimpin di negara ini tidak kira dari apa jua latar belakang bangsanya bertindak menyatukan seluruh rakyat dan berusaha merapatkan jurang perbezaan di antara kaum serta memupuk sikap toleransi agar menikmati kehidupan lebih harmoni.
Justeru katanya, pihak polis mesti mengambil tindakan sewajarnya lebih-lebih lagi banyak pihak telah tampil dan membuat laporan polis terhadap Guan Eng berhubung perkara yang ditimbulkan.
Sebelum ini, sebuah portal berita tempatan yang memetik laporan akhbar Bahasa Mandarin melaporkan, Guan Eng memberi amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ daripada bertapak di negeri itu.
Guan Eng mendakwa, ia akan mengakibatkan tokong Buddha dimusnahkan dan orang bukan Islam berdepan pelbagai sekatan. – MalaysiaGazette