Anwar Ibrahim.-Foto FAREEZ FADZIL, 06 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengkaji dan merangka dasar dan strategi perundangan yang bersesuaian untuk membanteras aktiviti ‘Ali Baba’.

Beberapa kementerian dan agensi kerajaan serta Jabatan Peguam Negara yang terbabit yang terlibat dengan kajian tersebut akan membentangkan cadangan kepada Jemaah Menteri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, secara prinsip budaya ‘Ali Baba’ memberi dampak negatif kepada ekonomi dan kerajaan serius untuk menangani dan membasmi aktiviti tersebut.

“Anggaran kerugian mencecah sekitar 1% daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota, serta pemberian subsidi dan geran,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Aktiviti ‘Ali Baba’ merupakan salah satu daripada dua perkara utama yang dibincangkan pada Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang diadakan semalam.

Selain itu mesyuarat tersebut turut membincangkan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR).

Menyentuh tentang NETR, Perdana Menteri berkata, inisiatif tersebut akan dipercepatkan sebagai pemangkin kepada strategi untuk mengangkat negara sebagai peneraju serantau dalam bidang tenaga boleh baharu.

Tambah beliau, ia membabitkan projek-projek Flagship Rintis dan inisiatif NETR bagi meningkatkan penyertaan industri mengenai hala tuju baharu kerajaan dalam meneroka sumber tenaga baharu dan membentuk permintaan pasaran, serta mengenal pasti sumber kewangan untuk menangani jurang pembiayaan bagi projek tersebut.

Menurut Anwar, fasa pertama NETR akan mengetengahkan sepuluh projek rintis perdana yang strategik dan bernilai tinggi sebagai langkah pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dengan jangkaan pelaburan bernilai RM25 bilion, mewujudkan 23,000 pekerjaan berkualiti tinggi, dan mengurangkan pelepasan karbon dioksida setara melebihi 10,000 gigagram secara bertimbunan (cumulative).

Katanya, peluncuran NETR fasa pertama akan diadakan pada 27 Julai ini disusuli peluncuran fasa kedua pada Ogos depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast