Rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan remaja merempit dan melakukan aksi berbahaya yang dipercayai berlaku di Lebuhraya Kajang-Seremban.

KUALA LUMPUR – Seorang remaja maut maut manakala lima lagi parah dalam kemalangan yang membabitkan 10 buah motosikal di KM 26.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, DSP Mat Ghani Lateh berkata, hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kesemua penunggang yang terlibat bergerak dari arah Nilai menuju ke Seremban.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, salah sebuah motosikal dipercayai telah gagal dikawal sebelum terbabas dan berlanggar sesama sendiri.

“Seorang penunggang berusia 19 tahun telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima penunggang cedera parah dan empat penunggang lain mengalami cedera ringan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Terdahulu tular rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan remaja merempit dan melakukan aksi berbahaya yang dipercayai berlaku di lebuh raya tersebut.

Menurut Mat Ghani, kesemua mangsa yang berumur dalam lingkungan 18 hingga 20 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk menerima rawatan lanjut manakala mangsa yang maut dibawa ke hospital sama bagi proses bedah siasat.

Tambah beliau, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya dengan menghubungi Pengawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Zarina Ariffin di talian 013-8238336. – MalaysiaGazette