Tun Dr. Mahathir Mohamad.- Foto MUHD NA’IM, 06 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Ekonomi suram negara boleh diatasi sekiranya Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengekalkan sifat ‘over excited‘ (terlebih teruja).

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Tengku Zafrul kelihatan teruja dengan berita yang tersilap melaporkan mendakwa beliau telah berjumpa dengan individu yang berhajat melabur ‘RM500 bilion’ di Langkawi.

Menurut Mahathir, portal berkenaan telah membetulkan kesilapan angka berkenaan kepada RM500 juta tanpa beliau meminta untuk berbuat demikian.

“Agaknya sebelum sempat akhbar itu lakukan pembetulan, Tengku Zafrul tanpa berlengah telah memuat naik di video di media sosialnya dengan memberi perincian bahawa RM309 bilion ialah pelaburan tertinggi setahun yang pernah didapati oleh Malaysia.

“Dan di zaman saya jadi PM pun tak pernah dapat pelaburan mencecah RM500 billion.

“Jika sifat over-excited Tengku Zafrul terhadap laporan yang tidak tepat itu terdapat juga di dalam dirinya ketika mencari dan mendapatkan pelabur ke Malaysia, saya yakin keadaan ekonomi negara yang kelam dan muram ini dapat di atasi,” kata Mahathir.

Mahathir kemudian mencabar Tengku Zafrul untuk memperincikan jumlah pelaburan yang telah beliau bawa masuk ke Malaysia sejak menjadi menteri di bawah kerajaan baharu.

Menurut Mahathir, tidak berguna jika Tengku Zafrul hanya membuat pengumuman ada pelbagai cadangan dan tandatangan puluhan perjanjian tetapi tidak menyumbang peningkatan ekonomi.

Sementara itu, Mahathir berpandangan Tengku Zafrul mempunyai ‘keistimewaan’ sehingga dilantik sebagai menteri oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia dilantik Tan Sri Muhyiddin (Yassin) jadi Menteri Kewangan dan dia dikecam Datuk Seri Anwar sebagai menteri yang jaga bank dan bukan jaga rakyat.

“Walau kalah dalam pilihan raya umum ke-15 atas tiket UMNO, Datuk Seri Anwar yang sebelum itu kecam Tengku Zafrul lantik dia jadi menteri sekali lagi.

“Kalau ikut Datuk Seri Anwar, Tengku Zafrul ni memang tak layak jadi menteri. Tapi dia tetap jadi menteri. Mungkin ada something special yang kita tak nampak lagi,” kata Dr. Mahathir.

Tengku Zafrul sebelum itu dilaporkan meminta Dr. Mahathir mendedahkan butiran pelabur yang didakwanya mahu melabur sehingga RM500 bilion di Langkawi.

Beliau berkata, jika dakwaan bekas Ahli Parlimen Langkawi itu benar, ia bakal mencipta sejarah dan rekod baharu buat Malaysia.-MalaysiaGazette