KUALA LUMPUR- MyHSR Corporation Sdn Bhd (MyHSR Corp) mempelawa firma dan konsortium tempatan serta antarabangsa mengemukakan cadangan konsep bagi projek keretapi berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur- Singapura.
Syarikat itu dalam kenyataan hari ini berkata, ia akan melancarkan proses permintaan maklumat (Request for Information- RFI) bagi membolehkan sektor swasta mengemukakan secara rasmi cadangan konsep untuk membina dan mengendalikan projek HSR Kuala Lumpur-Singapura melalui model perkongsian awam-swasta.
“MyHSR Corp sebelum ini telah melaksanakan sesi libat urus bersama beberapa syarikat swasta terpilih semasa peringkat awal pengumpulan maklumat untuk memahami tahap minat, keupayaan, dan keperluan sumber yang diperlukan untuk memastikan kemampanan projek ini.
“Pelaksanaan RFI ini membolehkan Kerajaan Malaysia untuk menilai minat dan keupayaan industri untuk membiayai projek ini sepenuhnya.
“Di samping itu, proses RFI ini akan menilai keupayaan firma-firma dan konsortium tersebut dalam membangunkan projek infrastruktur utama ini berdasarkan spesifikasi teknikal, kos projek, model komersial dan perniagaan, dan rangka kerja konsortium serta tadbir urus,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal, menggalakkan firma-fima dan konsortium dengan pengalaman yang relevan untuk menyertai proses RFI ini.
Beliau berharap ia dapat menarik minat dan cadangan yang berkualiti yang akan menjadi rujukan penting dalam keputusan Kerajaan bagi melaksanakan projek itu.- MalaysiaGazette