Video tular ternakan ayam di ladang babi di Pulau Pinang.

KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) mengesahkan terdapat sebuah ladang di Seberang Perai yang menternak babi bersama ayam di dalam satu kawasan yang sama.

Pengesahan itu dibuat selepas satu operasi bersepadu antara Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pulau Pinang dijalankan bersama Majlis Bandaraya Seberang
Perai (MBSP) bagi menyiasat aduan viral berkenaan di ladang terbabit semalam.

Bagaimanapun, DVS mendapati ayam yang diternak di ladang terbabit tidak dihantar ke mana-mana rumah sembelihan dan hanya dijual di pasaran bukan Islam sahaja serta tidak melibatkan penjualan ke lokasi lain.

Dalam kenyataan hari ini, DVS berkata, ladang terbabit merupakan ladang babi yang berdaftar dengan DVS, tetapi tidak mempunyai lesen untuk beroperasi kerana tidak mematuhi peraturan di bawah pelesenan yang menetapkan semua ladang babi perlu menaiktaraf kepada sistem kandang tertutup dan zero discharge iaitu tiada sisa kumbahan terlepas ke parit awam.

“Ladang babi ini jelas telah melanggar Peraturan-Peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, iaitu Peraturan 19 (1), yang menyatakan bahawa semua
spesis haiwan dan unggas lain hendaklah tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi.

“Justeru, Notis Pengosongan Kandang, Penutupan dan Pemberhentian Operasi telah ikeluarkan kepada pemilik ladang untuk mengosongkan ayam pedaging daripada ladang babi berkenaan dalam tempoh tujuh hari,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Satu kompaun di bawah Enakmen Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2016 telah dikeluarkan kepada ladang berkenaan dan membawa kepada kompaun sebanyak RM7,500.00 atau denda RM30,000.00 atau/dan penjara 3 tahun tertakluk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Untuk memastikan perkara ini tidak berulang, DVS akan memeriksa semua ladang babi bagi memastikan tiada spesis haiwan dan unggas diternak secara komersial di semua ladang babi.

DVS akan turut mengeluarkan surat peringatan kepada semua ladang babi agar mematuhi peraturan pelesenan ternakan babi.

Dalam pada itu, DVS memohon agar video tersebut dihentikan penularannya bagi mengelakkan kerisauan dalam kalangan orang awam.

Sejak Ahad lalu, tular satu video yang memaparkan satu ladang yang menternak ayam dan khinzir dipercayai di Pulau Pinang/

Kegiatan tersebut dibongkar oleh Pengerusi Persatuan Kebajikan Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain menerusi akaun TikTok @sophianmohdzain7 yang memuat naik kandungan tersebut.

Klip video berdurasi 23 saat itu memaparkan sebaris kandang ayam diletakkan agak hampir dengan kandang babi di lokasi tersebut. – MalaysiaGazette