Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing menyamoaikan sumbangan JAWI Food Bank (JFB) kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na'im Mokhtar turut disaksikan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, di Kompleks Pusat Islam JAWI, semalam.

KUALA LUMPUR – China menyerahkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Food Bank sebagai simbolik kepada Tabung Musaadah JAWI bagi tahun 2023.

Sumbangan itu disampaikan Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar.

Menurut kenyataan JAWI,  ia bertujuan menjayakan misi bantuan Musaadah yang memberikan manfaat kepada penerima daripada pelbagai golongan masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan tanpa mengira agama dan bangsa.

Golongan yang mendapat manfaat meliputi petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan, B40, peniaga kecil, mualaf, ibu tunggal, pemandu teksi dan bas sekolah, pemandu p-hailing dan e-hailing, warga emas dan golongan kurang upaya (OKU) serta gelandangan.

“Sumbangan kedutaan republik China di Malaysia kepada Tabung Musaadah JAWI itu adalah kali yang kelima semenjak tahun 2020 dengan nilai keseluruhan berjumlah RM600,000.00.

“Sehingga kini JAWI Food Bank (JFB) dengan kerjasama rakan strategik telah mengagihkan sumbangan bantuan barangan keperluan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung yang bernilai RM6.05 juta.

“Seramai 296,946 orang penerima yang memerlukan terutamanya semenjak pandemik Covid-19 melanda negara telah menerima manfaat itu,” katanya dalam kenyataan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar menerima kunjungan hormat Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing bagi membincangkan kerjasama strategik di Kompleks Pusat Islam JAWI, semalam.

Terdahulu, Na’im dan Yujing membincangkan kerjasama strategik antara China dan JAWI melalui JFB dalam usaha membantu meringankan beban kos sara hidup yang dihadapi oleh golongan rentan.

Antara perkara lain yang dibincangkan adalah untuk memperluaskan jaringan kerjasama dalam program bantuan kepada mangsa bencana dan musibah seperti kebakaran dan banjir, tambah beliau.

“Selain itu, kerjasama daripada pihak kedutaan untuk menarik lebih ramai pelancong China ke Malaysia bagi mengunjungi masjid-masjid khususnya sekitar Wilayah Persekutuan sebagai salah satu usaha menggalakkan budaya persefahaman dan keharmonian merentasi sempadan kepercayaan,” ujarnya.

Menurut kenyataan itu, bantuan yang berpusat di Kompleks Pusat Islam di ibu negara itu menyediakan perkhidmatan secara ‘walk in’ atau serta dihantar terus kepada penerima.

Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan JAWI juga giat melaksanakan program bantuan kemanusiaan melalui Tabung Musaadah kepada golongan yang ditimpa bencana alam seperti banjir di dalam negara.

“Inisiatif yang dijayakan secara kalaborasi strategik ini adalah selaras dengan teras Kesejahteraan Insan yang terkandung di dalam agenda Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia MADANI (Al-Falah).

“Selain itu, program bantuan tersebut dapat menyubur sifat rahmah, ihsan, dan prihatin terhadap keperluan dan kebajikan golongan yang memerlukan selaras dengan tekad kepemimpinan negara untuk merapatkan jurang masyarakat,” jelasnya. – MalaysiaGazette