Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju melaksanakan inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan untuk pelajar universiti awam (UA) yang melibatkan kos berjumlah RM16.8 juta.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu dilaksanakan selepas mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri, hari ini.

Katanya, usaha tersebut dijangka dapat memanfaatkan lebih 56,000 pelajar UA dan penerbangan adalah melalui laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Inisiatif itu akan dilaksanakan bermula 15 Ogos ini dan kaedah pemberiannya adalah syarikat penerbangan mengeluarkan baucar digital bernilai RM300 kepada setiap pelajar yang layak untuk ditebus bagi maksud pembelian tiket penerbangan berkenaan.

“Pelajar yang layak untuk menerima subsidi ini adalah semua pelajar warganegara Malaysia yang sedang mengikuti pengajian di universiti awam pada 2023.

“Ia hanya sah untuk pembelian tiket penerbangan sehala atau dua hala bagi laluan penerbangan kelas ekonomi antara tempat asal Semenanjung, Sabah, Sarawak, Labuan dan tempat pelajar sedang menuntut Semenanjung Malaysia, Sabah,
Sarawak dan Labuan,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini;

Anthony berkata, bantuan itu hanya boleh digunakan untuk pembelian tiket penerbangan Malaysia Airlines, AirAsia, Batik Air, Firefly dan MYAirline dan tarikh akhir penebusan baucar untuk pembelian tiket penerbangan adalah pada 31 Oktober 2023.

Bagaimanapun, katanya, pembelian tiket penerbangan untuk perjalanan selepas tarikh akhir penebusan baucar adalah dibenarkan.

Tambah beliau pelaksanaan inisiatif itu mampu mengurangkan beban kewangan pelajar yang ingin pulang ke kampung halaman semasa cuti semester pengajian.

“Bantuan ini adalah salah satu inisiatif Kerajaan Perpaduan untuk mengeratkan hubungan antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan di samping menangani isu kos sara hidup selaras dengan aspirasi Malaysia Madani,” tambahnya. – MalaysiaGazette