Sadio Mane. Foto Sky Sports.

LONDON – Demi mengumpul dana untuk membeli bintang Tottenham Hotspur, Harry Kane, Bayern Munich sedia menjual Sadio Mane dengan harga serendah £17 juta (RM102.5 juta) pada musim panas ini.

Mane yang mengharungi musim hambar di Bavaria susulan perpindahan bernilai £35 juta (RM211 juta) dari Liverpool tahun lalu antara tujuh bintang Bayern yang mahu disingkirkan.

Pemain antarabangsa Senegal itu menjaringkan tujuh gol dalam 25 penampilan Bundesliga musim lalu gagal memukau peminat Bayern susulan perpindahannya dari Anfield.

Namun juara Bundesliga itu berharap untuk membawa Kane ke Arena Allianz dengan harga sekitar £70 juta (RM422 juta) minggu ini kerana Spurs akan kehilangan bintang mereka secara percuma pada musim panas akan datang apabila kontraknya tamat.

Bagaimanapun, menurut laporan Mail Sport, Tottenham mahu menolak tawaran kedua Bayern sebaliknya meletakkan tanda harga £120 juta (RM724 juta) terhadap kapten England itu.

Bayern dilaporkan bersedia menjual besar-besaran pada musim panas ini dengan harapan dapat mengukuhkan peruntukan perpindahan mereka dan berharap untuk mengikat Kane kali ini.

Pemain paling mahal dalam senarai perpindahan Thomas Tuchel adalah pemain berusia 21 tahun dari Belanda, Ryan Gravenberch, yang diharap dapat mengutip hingga £42 juta (RM253 juta).

Sementara itu, Bouna Sarr, Alexander Nubel dan Yann Sommer semuanya dijangka berpindah dengan bayaran kurang daripada £8.5 juta (RM51 juta).

Jika Bayern dapat menjual semua pemain itu menepati harga ditetapkan, juara Jerman itu boleh mengumpul kira-kira £113 juta (RM681 juta) dan hampir mampu mendapatkan Kane dengan harga yang diminta pengerusi Daniel Levy.

Tottenham berharap meyakinkan pemain berusia 29 tahun itu kekal di utara London dan menawarkan kontrak lumayan bernilai £400,000 (RM2.4 juta) seminggu. – Agensi