Luka Milunovic. Foto Facebook Perak FC.

KUALA LUMPUR – Ketumpulan bahagian serangan Perak FC bakal di atasi apabila mengumumkan kehadiran penyerang import, Luka Milunovic menyertai kelab tersebut untk baki Liga Malaysia (Liga-m) musim ini.

Pengumuman pemain kelahiran Serbia itu disahkan menerusi laman Facebook rasmi kelab tersebut.

Liga Malaysia nyata bukan asing buat penyerang berusia 30 tahun itu kerana dia sebelum ini pernah menyarung jersi Melaka United dan Sabah dalam menghadapi kempen Liga Super Malaysia pada musim 2019.

Untuk rekod, dia berjaya meledakkan 10 gol pada 21 penampilan sepanjang beraksi di Malaysia.

Selepas meninggalkan Sabah, Milunovic berkelana ke Hungary serta Greece dan kemudiannya kembali ke tanah airnya untuk beraksi dengan FK Radnicki.

Mengulas mengenai kedatangan ke Perak, Luka Milunovic mengakui dirinya sudah bersedia untuk mengepalai jentera serangan pasukan.

‘Perak FC adalah kuasa besar dalam bola sepak Malaysia, penuh dengan tradisi & legasi,’’ ujar beliau menurut kenyataannya di laman Facebook Perak FC.

Kehadiran Milunovic dilihat tepat pada masanya apabila penyerang import dari Nigeria, Christian Obiozor gagal memberikan sumbangan berkesan.

Walaupun seorang lagi pemain import, Seo Seonung menjaringkan tiga gol dalam kempen liga, dia kemudiannya terpaksa berehat lama ekoran kecederaan dialaminya.

Selepas mengharungi 16 perlawanan, Perak hanya mampu menjaringkan 11 gol dan Luka Milunovic mampu mengubah keadaan menjadi lebih baik buat skuad kendalian Yusri Che Lah itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast