Gambar hiasan

KESEDIAAN institusi pengajian tinggi dalam menyediakan bakal pendidik futuristik perlu diberikan perhatian. Di kala dunia dihimpit oleh cabaran pandemik Covid-19 dan kehidupan endemik, sistem pendidikan negara antara yang paling terkesan. Sekolah di seluruh dunia sedang melalui era transformasi yang belum pernah difikirkan sebelum ini. Pandemik COVID-19 telah banyak mengajar erti kehidupan yang perlu bercirikan ‘fleksibiliti, agiliti dan empati’. Dalam mengharungi kehidupan pandemik, baik guru mahupun murid telah didorong untuk menjalani alam pembelajaran yang ‘auto-transformatif’. Bermula dengan detik-detik penuh cemas, satu terma ‘panicgogy’ telah diperkenalkan untuk membicarakan situasi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah yang tidak pernah dirancang atau diteliti sebelum pandemik.

Kini, melepasi dua tahun pengalaman pandemik, rata-ratanya guru dan murid telahpun terdedah kepada transformasi PdP yang berciri hibrid, iaitu kaedah penyampaian PdP secara bersemuka dan juga tidak bersemuka mengikut kemampuan setiap sekolah itu sendiri. Malah, akan tiba juga saatnya apabila PdP bersifat ‘hifleks’ (hibrid dan fleksibel) menjadi amalan di sekolah. Sungguhpun negara mempunyai isu kepelbagaian yang memberi cabaran tatkala Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin membawa sesuatu perubahan kepada sistem sekolah, satu tindakan berfikiran terkehadapan seperti
menyerap amalan PdP yang ‘hifleks’ sudah boleh dipertimbangkan. Selain pihak KPM, persoalannya kini turut beralih kepada kemampuan pihak institusi pengajian tinggi dalam menyediakan bakal guru yang responsif terhadap transformasi PdP yang bergantung pada konteks endemik.

Landskap pendidikan negara yang turut dicorakkan oleh profil pelajar dan sekolah, kesediaan dan aksesibiliti kepada teknologi digital dan multimedia serta perubahan ketara dalam aspek penilaian pelajar mempunyai banyak implikasi kepada semakan program dan kurikulum pendidikan guru negara. Konteks endemik mencorakkan sistem pendidikan negara yang tentunya perlu responsif kepada perubahan berlandaskan ‘fleksibiliti, agiliti dan empati’. Kaedah penyampaian PdP yang hibrid dan hifleks akan menjadi kelaziman. Justeru, program pendidikan guru perlu dikaji semula untuk memastikan bakal guru yang dilahirkan adalah graduan yang tangkas berinovasi dalam menyediakan PdP masing-masing berdasarkan profil pelajar, sekolah dan tentu sekali kekuatan sumber infrastruktur dan infostruktur yang menyokong insiatif inovasi PdP tersebut sementelah kaedah hibrid dan hifleks menjadi kelaziman dalam pendidikan negara.

Antara aspek yang boleh diberikan tumpuan dalam semakan semula program dan kurikulum pendidikan guru sediada adalah kandungan silibus yang menekankan pemikiran inovatif. Sudah tiba masanya para pelajar bidang pendidikan dilatih untuk berdikari dalam mencari isu dan mencadangpenyelesaian. Sepanjang tempoh 17 minggu dalam setiap semester, agak wajar 2/3 daripada tempoh tersebut dikhususkan untuk keperluan para pelajar berdikari dalam mencari maklumat praktikal berkenaan kursus memandangkan maklumat teoretikal boleh disediakan bersama para pensyarah.Secara tidak langsung, pembelajaran berpusatkan pelajar ini boleh melatih bakal pendidik skil dan kemahiran penyelidikan dan pembelajaran sepanjang masa. Aspek kedua yang boleh diambil kira adalah keperluan pelajar membangunkan produk inovasi berdasarkan keperluan dan kehendak sebenar sekolah. Di sini, jaringan bersama rakan strategik, iaitu sekolah memainkan peranan yang penting. Konsep ‘Fakulti Pendidikan di sekolah’ mampu membawa lebih ramai pelajar dan pensyarah untuk lebih mesra dalam berkolaborasi bersama warga sekolah. Para guru juga berpeluang diberikan ruang untuk berkongsi ilmu dan amalan mereka kepada bakal guru disamping mengetengahkan cabaran dan isu sebenar dan terkini.

Pandemik Covid-19 banyak membantu dalam merealisasikan pendidikan transformatif yang selama ini banyak dibicarakan namun kurang diamalkan. Suka atau tidak, sistem pendidikan negara sedang menyaksikan perubahan ketara dalam aspek PdP dan juga kaedah penilaian. Peranan institusi pengajian tinggi dalam menyediakan bakal guru yang responsif kepada keperluan transformasi pendidikan beracuan kehidupan endemik tidak dipertikaikan masyarakat umum. Pakar pendidikan di institusi pengajian tinggi negara perlu memimpin inisiatif transformasi program pendidikan guru dalam menyahut cabaran transformasi pendidikan endemik. Landskap pendidikan negara dan konteks kehidupan endemik sudah jelas dan nyata hanya menunggu tindakan responsif pihak institusi
pengajian tinggi dalam menyediakan bakal guru yang mampu mendepani cabaran PdP endemik yang bersifat hibrid dan hifleks bak kata pepatah, ‘Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air’.

Faizah Abd Majid
Pengarah Pembangunan dan Pengurusan Akademik
Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS)
Universiti Teknologi Mara

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast