Siti Bainun Ahd. Razali

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi, di sini, akan mendengar rayuan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali berhubung hukuman penjara 12 tahun pada 12 Oktober ini.

Berikutan itu, Penolong Kanan Pendaftar, Nur Azizah Jaafar memerintahkan Siti Bainun memfailkan hujahan bertulis selewat-lewatnya pada 27 September ini dan hujah responden pada 5 Oktober.

Siti Bainun sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun secara serentak atas kesalahan mengabai dan menganiaya seorang remaja sindrom Down dikenali sebagai Bella.

Pada 23 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak rayuan wanita itu bagi menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.

Hakim Datuk Ahmad Bache menolak permohonan itu kerana merasakan tidak ada sebab khas atau luar biasa yang mewajarkan mahkamah membenarkan penangguhan hukuman.

Mahkamah Sesyen sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Siti Bainun bagi kesalahan mengabai dan 12 tahun penjara bagi kesalahan menganiaya Bella yang hukumannya berjalan serentak.

Hakim Izralizam Sanusi mengarahkan Siti Bainun dihantar ke penjara serta-merta, selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast