SELAYANG — Purata Nilaian Gred Keseluruhan (PNGK) Nasional Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 meningkat 0.03 mata berbanding tahun lepas, dari 2.79 pada 2021 kepada 2.82 pada 2022.
Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, pencapaian itu merekodkan PNGK Nasional STPM tertinggi sejak pelaksanaannya.
“Sebanyak 1,184 (2.84 peratus) calon telah pendapat PNGK 4.00, meningkat sebanyak 310 calon iaitu daripada 874 calon pada 2021.
”Daripada jumlah itu, 1,009 (85.22 peratus) adalah dari golongan B40.
“Dari segi pencapaian PNGK calon juga meningkat dimana peratusan longgokan calon STPM 2022 pada PNGK 3.75 dan ke atas 9.59 peratus; PNGK 3.00 ke atas 42.96 peratus; PNGK 2.75 ke atas 56.97 peratus; dan PNGK 2.00 ke atas 89.75 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pengumuman Keputusan STPM 2022, di MPM, di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, peratusan calon STPM 2022 yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran juga meningkat sebanyak 1,120 calon.
“Sebanyak 31,280 (75.01 peratus) calon pada tahun 2022 mendapat lulus penuh lima dan empat mata pelajaran berbanding 30,160 calon,” katanya.
Menurut Mohd Ekhwan, daripada 41,701 calon STPM 2022 yang hadir, 99.98 peratus (41,694) daripadanya layak dianugerahkan sijil STPM 2022.
Dalam pada itu Mohd Ekhwan memaklumkan seramai 17 calon STPM 2022 mendapat anugerah pelajar terbaik.
“Mereka terdiri dari 11 pelajar terbaik keseluruhan, seorang kategori B40, seorang kategori orang asli, dan empat pelajar kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (buta, rabun, autistik, spastik),” katanya.
Bercakap mengenai prestasi mata pelajaran, katanya, kesemua 23 yang ditawarkan telah mencatat peratusan lulus penuh melebihi 60 peratus iaitu Gred C dan ke atas.
“Dalam STPM 2022, mata pelajaran Literature in English, Pengajian Perniagaan dan Bahasa Arab menunjukkan peningkatan melebihi 3.00 peratus.
“Manakala mata pelajaran Bahasa Cina, Chemistry dan Mathematics T menunjukkan penurunan melebihi 3.00 peratus dari segi prestasi Lulus Penuh berbanding tahun 2021,” katanya lagi. -MalaysiaGazette