LONDON – Kelab Arab Saudi, Al Ettifaq sedia menawarkan gaji luar biasa kepada kapten Liverpool, Jordan Henderson yang juga merupakan pemain antarabangsa England.
Henderson ditawarkan gaji kira-kira £700,000 seminggu yang mana angka itu dilaporkan hampir empat kali ganda lebih tinggi yang diperolehinya di Liverpool ketika ini.
Baru-baru ini, Al Ettifaq telah melantik legenda Liverpool, Steven Gerrard sebagai pengurus baharu mereka dan dia diberikan kebebasan untuk memilih pemain yang dia mahukan untuk dibida oleh kelab.
Daily Mail melaporkan, Henderson mempertimbangkan tawaran tersebut dan akan berbincang dengan Jurgen Klopp tentang perananannya di kelab itu pada musim hadapan.
Dengan usianya yang semakin lanjut dan kehadiran pemain pemain tengah baharu, Henderson mungkin meminta untuk dilepaskan ke Al Ettifaq.
Sekiranya menyertai kelab Arab Saudi tersebut, dia akan muncul sebagai penerima gaji tertinggi di Liga Pro Saudi dan antara yang tertinggi di dunia di kalangan atlet sukan.
Henderson yang kini berusia 33 tahun telah memenangi segalanya bersama dengan Liverpool termasuk Liga Juara-Juara Eropah. – Agensi