KUALA LUMPUR – Bekas peguam 1Malaysia Development Berhad (IMDB), Jasmine Loo Ai Swan yang ditahan polis Jumaat lalu kini ditahan direman.
Namun Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abdul Rasid tidak mendedahkan tempoh reman yang mungkin dihadapi wanita tersebut atas faktor faktor keselamatan dan ancaman terhadapnya.
“Menjadi tanggungjawab kita sebagai badan penguatkuasa menjaga keselamatan harta dan nyawa, kita tahu apa bahaya dia akan hadapinya nanti,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurut Razarudin, bekas peguam 1MDB itu ditahan ketika hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk menyerah diri bagi membantu siasatan dan tahanan reman dilakukan di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau memberitahu, dalam siasatan yang dilakukan pihaknya bekerjasama dengan agensi-agensi lain sekiranya memerlukan saksi.
“Polis akan menyemak dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Agensi Suruhanjaya Sekuriti untuk menentukan sekiranya Jasmine berada dalam senarai dikehendaki oleh kedua-dua pihak tersebut,” ujarnya. – MalaysiaGazette