kejatuhan ringgit nilai
Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menjawab kenyataan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) yang mendakwa kenaikan gaji bukan dibawah tanggungjawab kementerian beliau.

Rafizi berkata, kementeriannya mempunyai tanggungjawab dalam membuat perancangan berkaitan ekonomi negara.

“Merujuk kepada kenyataan MEF mengenai fungsi Kementerian Ekonomi dalam dasar gaji, Kementerian Ekonomi bertanggungjawab menguruskan perancangan ekonomi negara secara menyeluruh.

“Gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup adalah isu pokok yang menjadi penghalang kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

“Kebergantungan kepada pekerja berkemahiran rendah adalah salah satu punca yang mengakibatkan gaji yang tidak seimbang dengan nilai hasil pekerja di dalam ekonomi,” tegas beliau dalam kenyataan.

Rafizi berkata, kementeriannya mempunyai peranan untuk menyelesaikan isu-isu struktur ekonomi yang boleh memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara.

Pertumbuhan gaji merupakan antara fokus utama reformasi struktur untuk mencapai sasaran nisbah gaji pekerja (CE) seperti yang dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Katanya, beliau sedang bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia untuk merangka beberapa dasar untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).

Pihak terbabit akan membincangkan strategi terbaik untuk meningkatkan gaji rakyat

“Butiran dan mekanisme dasar akhir akan diputuskan berdasarkan pertimbangan menyeluruh, termasuk kemampuan dan kesan kos kepada sektor swasta, pelaksanaan secara berperingkat dan persetujuan bersama tiga pihak antara kerajaan, majikan, dan pekerja.

“Sesi libat urus dengan pemegang taruh utama iaitu kerajaan, majikan, dan pekerja juga akan diadakan untuk mendapatkan pandangan semua pihak,” kata Rafizi.

CE Malaysia kepada Keluaran Dalam Negara Kasar bagi tahun 2019 adalah 35.9% berbanding negara-negara maju seperti Jerman (59.4%), United Kingdom (55.5%), Australia (46.9%) dan Republik Korea (46.8%).

Rafizi berkata, kadar gaji penengah benar dan gaji kemasukan baru telah merosot selepas pandemik dan kekal lebih rendah berbanding tahap sebelum pandemik.

Presiden MEF, Syed Hussain Syed Husman hari ini dilaporkan terkejut dengan pengumuman Rafizi berhubung rancangan kenaikan gaji progresif membabitkan sektor swasta dan awam.

Syed Hussain berkata, perkara itu bukan di bawah bidang kuasa Kementerian Ekonomi, sebaliknya Kementerian Sumber Manusia yang menangani dasar berkaitan gaji.

Beliau menegaskan, Menteri Ekonomi patut berkongsi dengan ahli perniagaan dan rakyat berkaitan rancangan untuk meningkatkan ekonomi sekali gus meningkatkan taraf hidup.

MEF menurut beliau, belum melihat sebarang rancangan konkrit daripada menteri untuk meningkatkan ekonomi. – MalaysiaGazette