Dr. Mohd Foad Sakdan (dua dari kiri) dan Dr. Razli Che Razak pada MoU Antara UUM dan UMK baru-baru ini.

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dalam usaha membantu menangani kemiskinan.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, kerjasama berkenaan membolehkan kedua-dua pihak bekerjasama bagi melaksanakan kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, perkongsian kepakaran, pengurusan kemiskinan dan keusahawanan sosial.

“Usaha ini adalah selaras dengan aspirasi UUM untuk menggerakkan dan mengaktifkan lagi jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Saya berharap agar melalui hubungan kerjasama ini, lebih banyak program akademik, penyelidikan dan keusahawanan sosial akan dilaksanakan bagi manfaat kedua-dua pihak.

Menurutnya, jalinan kerjasama ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan akan memberikan impak yang positif dalam perkembangan akademik, penyelidikan, keusahawanan sosial dan perkongsian kepakaran.

Beliau turut menzahirkan kesyukuran kerana dapat bersama-sama bertemu pada majlis yang bersejarah dan segala usaha ini adalah relevan dalam mengukuhkan lagi agenda pembangunan ummah.

“UUM amat bertuah kerana berpeluang untuk memeterai jalinan kerjasama dengan pihak UMK sebagai usaha untuk mengukuhkan lagi kolaborasi yang sedia terjalin antara negeri Kedah dan Kelantan,” ucapnya pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Antara UUM dan UMK di Balai Tamu, semalam.

Sementara itu, Naib Canselor, UMK, Prof. Datuk Dr. Razli Che Razak berkata, seramai 2,556 pelajar UMK terdiri daripada asnaf dan fakir miskin yang perlu dibantu dan diberi perhatian.

“Kami di UMK selalu menjadikan UUM sebagai tanda aras. Menerusi usaha sama ini kita dapat membincangkan kaedah, menjalankan projek dan memikirkan bagaimana menangani isu kemiskinan memandangkan angka tersebut semakin meningkat,” ujarnya.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ) dan berharap kerjasama ini dapat membantu menangani kemiskinan.

Pada majlis ini, UUM diwakili oleh IPIZ manakala UMK pula diwakili oleh Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPek). – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast