Muhammad Azeem Mohd Fahmi.

KUALA LUMPUR – Pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan, Muhammad Azeem Mohd. Fahmi menepati ramalan apabila tiada masalah untuk melangkah ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Asia 2023 di Bangkok, Thailand hari ini.

Azeem dengan rekod peribadi terbaik 10.09 saat (s), mengungguli saringan 2 menerusi catatan 10.24s yang merupakan masa kelima terpantas pada pusingan pertama di Stadium Nasional sebentar tadi.

Bekas pemegang rekod 100m kebangsaan yang juga raja pecut Asia Tenggara 2017, Khairul Hafiz Jantan turut mengiringi Azeem di separuh akhir esok apabila merakam masa 10.46s.

Bagaimanapun, cabaran mereka hari ini tidak mudah kerana perlu berdepan nama-nama besar seperti bekas pemegang rekod Asia dari Qatar, Femi Ogunode yang mencetak masa keempat terpantas sebentar tadi iaitu 10.19s.

Catatan terpantas di pusingan pertama menjadi milik atlet Jepun, Hiroki Yanagita dengan masa 10.10s diikuti Abdullah Abkar Mohammed dari Arab Saudi (10.18s) dan pelari Jepun, Ryuichiro Sakai (10.18s).

Azeem dan Khairul perlu merebut dua slot terbaik daripada tiga peringkat saringan separuh akhir untuk layak ke final malam ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast