Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto MUHD NA’IM, 01 JULAI 2023.

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merayu kepada pengundi di enam negeri supaya memberi peluang kepada calon-calon parti itu.

Syed Saddiq berkata, calon yang ditampilkan oleh MUDA terdiri dalam kalangan individu yang mempunyai idea, fikiran, akal dan jiwa yang tinggi.

Ahli Parlimen Muar itu menegaskan, peluang perlu diberikan kepada calon parti MUDA supaya perubahan boleh dilakukan terhadap Malaysia.

“Tolong beri MUDA peluang. Kami mahu membawa masuk politik baharu. Benar, calon kami adalah calon baru dan kurang pengalaman tetapi idealisme mereka tinggi.

“Beri kami peluang untuk membuat perubahan menjadi suara hati nurani anda. Meritokrasi, kepelbagaian, demokrasi. Untuk masa depan Malaysia bersama-sama,” ciap beliau di Twitter.

Semalam MUDA mengumumkan empat calon yang akan bertanding merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Calon tersebut ialah Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi yang dipilih sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) N29 Seri Serdang.

Selain itu, Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen di N41 Batu Tiga, Thanusha Ramanieswaran (N48 Sentosa) dan Melanie Ting Yi Hlin (N19 Bukit Antarabangsa).

Dari kiri: Amir Hariri Abd Hadi, Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen, R. Thanusha dan Melanie Ting Yi-Hlin.

Pada 26 Jun lalu MUDA memutuskan untuk bergerak secara solo pada pilihan raya di enam negeri.

Syed Saddiq berkata, keputusan itu dicapai secara konsensus selepas mendapatkan pandangan pelbagai pihak termasuk penyokong parti itu.

Keputusan tersebut bakal menyaksikan parti itu bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), walaupun MUDA menjadi sebahagian daripada blok kerajaan.

Pilihan raya negeri di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu telah ditetapkan pada 12 Ogos depan.-MalaysiaGazette

 

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast