Foto yang dikongsi oleh Puad Zarkashi

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing perlu memikul tanggungjawab memastikan aerotrain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibaiki segera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa kemudahan pengangkutan untuk pelancong dan penumpang berkenaan telah rosak sejak sebulan yang lalu.

“Mana Anthony Loke? Mana Tiong King Sing? Apa jadi MOT (Kementerian Pengangkutan)? Shuttle train dari bangunan utama ke terminal pelepasan antarabangsa rosak lagi. Sudah banyak kali rosak.

“Ini dikatakan first class facility (kemudahan kelas pertama) tetapi low class maintenance (penyelenggaraan kelas bawah).

“Baik pulih amat lambat. Masa saya ke Jeddah 17 Jun lalu train ini sudah rosak. Bila saya balik sebulan kemudian, ia masih rosak lagi,” rungut Mohd. Puad dalam media sosial.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu menegaskan, KLIA yang menyediakan kemudahan kelas pertama merupakan pintu masuk utama pelancong.

Bagaimanapun imej negara maju yang cuba dipaparkan kepada pelawat luar menjadi rosak apabila pelancong bersesak seperti  ‘sardin dalam tin’ ketika menaiki bas yang disediakan.

“MAB (Malaysia Airlines Berhad) pun satu hal. Penumpang dan pelancong disumbat sampai berdiri dalam bas dengan hand luggage mereka. Kesian warga emas. Apakah ini Malaysia’s Hospitality?” soal beliau.

Sementara itu, Mohd. Puad turut menyindir King Sing yang bergegas ‘menyelamatkan’ pelancong China baru-baru ini namun hanya berdiam diri berkaitan kerosakan kemudahan itu.

Beliau berkata, kerosakan aerotrain KLIA menjejaskan bukan seorang tetapi ribuan pelancong lain setiap hari.

“Mana Datuk Tiong King Sing. Dia Menteri Pelancongan. Tidak mahu serbu KLIA kali kedua?

“Hari itu dia sebuk pasal wanita warga China. Ini melibatkan ribuan pelancong setiap hari. Kenapa diam? Mohon PMX (perdana menteri kesepuluh) datang lagi ke KLIA,” kata Mohd. Puad.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. masa PMX pergi klia tidak jenguk ke aerotrain tu, pergi sana sini boleh bagi peruntukkan, tak akan kat klia tidak boleh dapat duit sikit untuk repair.

Comments are closed.